November 9, 2015

Murid tahun 1 bersama ibu bapa parah kemalangan


Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk selepas terlibat kemalangan di Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang polis bantuan maut manakala tiga lagi parah termasuk seorang kanak-kanak selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 34.5 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di sini, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Sinar Harian difahamkan, Norhidayah Ismail, 23 yang bertugas sebagai polis bantuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas maut di tempat kejadian ketika sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan memandu kereta jenis Honda.

Manakala pemandu kereta jenis Proton Wira, Khamis Simin, 41 yang bersama isteri Noraini Ariffin, 40 dan anaknya, Muhamad Khairul Adli Khamis, 7 mengalami cedera parah sementara seorang lagi anak mereka berusia empat tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamed berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu Norhidayah yang dalam perjalanan ke Gelang patah telah memasuki lorong sebelah kanan dan melanggar Proton Wira dari arah bertentangan.

“Kereta dipandu si mati telah masuk ke lorong sebelah kanan ketika melalui jalan berselekoh dan terus melanggar Proton Wira di hadapan yang dalam perjalanan ke Johor Bahru-Pendas.

“Menurut saksi, Proton Wira berkenaan yang dipandu seorang lelaki bersama isteri dan dua anaknya cuba mengelak kenderaan si mati namun tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Norhidayah meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat manakala Khamis serta isteri dan anaknya yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Tiga mangsa yang mengalami cedera parah dihantar ke HSA untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi yang tidak mengalami kecederaan turut dihantar ke hospital sama bagi pemeriksaan susulan.

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat turut tiba di tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang terbabit nahas,” katanya.

Dalam pada itu Noor Hashim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemeriksaan awal mendapati keadaan cuaca baik ketika kemalangan dan tiada sebarang kekeliruan tanda jalan.

Sinar Harian 8 November 2015

0 comments:

Post a Comment