November 5, 2015

Minta tolong lepas terjun

Temerloh: “Saya tidak sangka dia boleh terjun dari jambatan ini sedangkan dia seorang yang waras dan boleh berfikir yang mana perkara elok dan sebaliknya,” kata Roslan Yunus, 50, bapa saudara kepada Mohamad Noor Hamizan Mohd Johar, 19, yang terjun ke Sungai Pahang dari Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga pelajar Kolej IKIP, Kuantan, dikatakan terjun pada ketinggian 50 meter dari jambatan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, seorang saksi dikenali sebagai Azahari melihat Mohamad Noor Hamizan memberhentikan motosikalnya di laluan motosikal dan berpegang pada pagar jambatan berkenaan, namun apabila ditegur, mangsa marah menyebabkan lelaki itu meneruskan perjalanan.

Roslan berkata, sebelum kejadian mangsa yang tinggal di Taman Temerloh Jaya, di sini, mengejutkan adik bongsunya supaya bangun untuk solat Asar.

“Dia memberitahu adiknya itu untuk keluar sebentar ke kedai dengan menunggang motosikal milik ibunya.

“Mereka (ibu dan adiknya) tidak tahu dia ke jambatan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mereka mendapat tahu Mohamad Noor Hamizan yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu lemas selepas dimaklumkan orang ramai yang kebetulan berada di lokasi mangsa dilihat terjun.

“Saksi di tempat kejadian mendakwa mangsa dipercayai hanyut sejauh hampir 50 meter dan meminta tolong untuk diselamatkan sebelum lemas,” katanya.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Temerloh Mohd Arshad Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kekuatan 30 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh.

Katanya, sebanyak enam bot digunakan untuk operasi berkenaan dengan pencarian dijalankan di kawasan terakhir remaja lelaki itu dilihat sebelum lemas iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terjun dan jarak pencarian sejauh tiga kilometer ke depan.

“Memandangkan hujan yang lebat pada malam semalam (kelmarin), operasi mencari mengalami sedikit kesukaran kerana paras air Sungai Pahang naik dan keruh.

“Operasi pencarian turut menggunakan unit anjing pengesan (K9) bagi mempercepatkan penemuan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, petang kelmarin dan memaklumkan operasi mencari mangsa giat dijalankan.

myMetro 5 November 2015


Keluarga musykil

BAPA saudara, Roslan Yunus menunjukkan gambar mangsa (tengah).

Temerloh: Keluarga mangsa lemas, Mohamad Noor Hamizan Mohd Johar, 19, tidak percaya remaja lelaki itu terjun dari Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, dalam kejadian jam 4.30 petang, Selasa lalu.

Abangnya, Mohd Azim Fariez, 25, berkata, mangsa adalah seorang yang ceria, sihat dan berpegang pada ajaran agama dengan tidak pernah meninggalkan solat lima waktu.

“Tidak mungkin dia buat perkara itu (terjun).

“Dia tidak akan terjun bunuh diri sedangkan dia waras, boleh berfikir dan berpegang kuat pada agama.

“Dia sangat manja dalam keluarga walaupun dia anak kedua,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Azim Fariez berkata, mangsa selalu mengingatkannya dan adik mereka supaya tidak meninggalkan solat atau melakukan perkara dilarang agama.

Dia yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur menerima berita adiknya lemas dan bergegas pulang ke Temerloh untuk mengetahui perkara sebenar pada hari kejadian.

Menurutnya, adiknya itu yang belajar di Kolej IKIP, Kuantan tidak pernah memiliki rekod kesihatan buruk atau penyakit kronik.

“Saya menafikan dia mengalami masalah mental atau tekanan perasaan kerana dia sentiasa ceria dan mesra dengan keluarga serta rakan.

“Dia mendalami ilmu agama di Kuantan dan boleh berfikir mana perkara dilarang dan dicegah dalam agama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hashnuddin Hussin berkata, operasi mencari Mohamad Noor Hamizan diteruskan pagi semalam.

Katanya, operasi mencari diperluaskan sehingga ke sempadan daerah Temerloh-Bera iaitu 13 kilometer.

“Seramai 44 anggota agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh menggunakan enam bot dalam operasi mencari hari ini (semalam).

“Operasi mencari dihentikan pada jam 7 malam tadi dan diteruskan hari ini,” katanya.

myMetro 6 November 2015


Mayat remaja terjatuh dari Sungai Pahang ditemui

TEMERLOH - Mayat remaja yang didakwa terjatuh di Sungai Pahang dari Jambatan Ahmad Shah di sini, pada Isnin lepas dijumpai terapung di Kampung Belimbing, Pekan, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hassanuddin Husein berkata mayat Mohamad Noor Hamizan Mohd Johar, 19, dijumpai pada pukul 12.50 tengah hari oleh orang awam di tebing sungai itu, yang terletak kira-kira 120 kilometer dari tempat dia terjun.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Pekan dan keluarga mangsa telah mengesahkan mayat pada pukul 6.05 petang tadi.


Dalam kejadian pukul 4.30 petang Isnin, Mohd Noor Hamizan yang merupakan pelajar sebuah kolej di Kuantan, dikatakan terjatuh pada ketinggian 50 meter dari jambatan itu sebelum dihanyutkan arus deras.

Gerakan mencari dan menyelamat mangsa melibatkan 30 anggota dari bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menggunakan unit anjing pengesan. - Bernama

8 November 2015

0 comments:

Post a Comment