November 25, 2015

'Mereka jumpa kesan tapak kaki ayah di padang'

Mangsa, Saat Jusoh.

MARANG - “Mereka jumpa kasut dan kesan tapak kaki ayah di padang bola sepak Kampung Temiang sekitar 5.30 petang semalam dan kami harap ayah dapat ditemui pada hari ini kerana operasi mencari diteruskan”.

Demikian harapan Aminah Saat, 26, yang juga merupakan anak perempuan kepada seorang warga emas dari Jerung Seberang, Saat Jusoh, 78, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya sekitar jam 3.00 pagi sejak Ahad lalu.

Menurutnya, usaha mencari diteruskan awal pagi tadi di kawasan tumpuan iaitu di kawasan berdekatan padang bola kampung berkenaan dengan harapan ayahnya dapat ditemui susulan penemuan kasut serta kesan tapak kaki di situ.

“Sebelum ini juga usaha mencari ayah sudah dijalankan di kawasan kebun (di Temiang), tapi tak jumpa.... Harapan kami sekeluarga, ayah dapat dijumpai pada hari ini, dengan  selamat,” kata anak ketujuh dari sembilan beradik itu.

Namun, harapan Aminah dan ahli keluarganya yang menetap di Jerung Seberang itu, agar ayah mereka dapat dijumpai dalam keadaan selamat bertukar menjadi pilu apabila ketua keluarga itu dijumpai meninggal dunia, pagi tadi.

Ayahnya dijumpai meninggal dunia di kawasan kaki bukit Kampung Temiang dan mayat warga emas sembilan anak itu, dijumpai anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 10.35 pagi.

Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Marang, Staff Tinggi (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, ketika ditemui, mayat terbabit lengkap berpakaian dan berseluar panjang serta berada dalam keadaan tersembam ke dalam air di lokasi tersebut.

Menurutnya, operasi mencari itu diketuai polis daerah dengan bantuan anggota Pertahanan Awam Daerah Marang dan pasukan Bomba Dan Penyelamat telah dimulakan sejak Ahad lalu selepas mangsa dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah.

“Operasi mencari mangsa ini melibatkan sekumpulan 25 anggota polis daerah, JPAM dan bomba. Operasi mencari dihentikan selepas mangsa berjaya ditemui dan kes ini juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi Sinar Harian hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan mayat warga emas terbabit.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya.

Sinar Harian 25 Nov 2015


‘Hilang’ selepas keluar jam 3 pagi

MARANG - Sebuah keluarga di Kampung Jerung Seberang di sini, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ketua keluarga itu, Saat Jusoh, 78, yang menghilangkan diri selepas keluar dari rumah kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Anaknya, Aminah Saat, 26, juga merayu bapanya itu supaya segera pulang kerana mereka sekeluarga merinduinya dan bimbangkan keselamatan bapanya yang turut mengalami masalah kurang pendengaran.

“Pada hari kejadian, bapa (Saat) dipercayai keluar dari rumah ikut pintu belakang dan penduduk kampung ada melihatnya di padang bola sepak Kampung Temiang yang jauhnya kira-kira 1 kilometer dari rumah di Jerung Seberang ini.

“Penduduk terbabit melihat bapa ada di situ sekitar jam 6 pagi sebelum perkara itu dimaklumkan kepada kami dan abang saya kemudiannya bergegas ke lokasi tersebut selepas itu,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, apabila abangnya sampai di padang bola sepak Kampung Temiang, bapa mereka tiada di situ termasuk di kawasan berdekatan dan sehingga jam 3 petang semalam, masih gagal ditemui.

“Kami sekeluarga juga bergilir-gilir mencari bapa di kampung berdekatan termasuk mendapatkan bantuan polis, JPAM, bomba dan penduduk, namun sehingga kini (semalam) masih tiada sebarang maklumat lanjut diperoleh,” katanya.

Saat yang tinggal di Jerung Seberang itu keluar dari rumah dengan memakai baju kemeja berpetak kecil berwarna kuning dan memakai kasut sukan berwarna merah jambu atau putih.

Sehubungan itu, Aminah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bapanya itu agar menghubunginya di talian 010 902 1292 atau 014 829 2800 (Sulong Saat) atau mana-mana balai polis terdekat.

Sinar Harian 24 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment