November 7, 2015

Meninggal kerana komplikasi jantung, bukan ditembak

Kuala Terengganu: Polis menafikan penyebaran gambar yang mendakwa pengawal keselamatan di bank di sini mati ditembak perompak, sebaliknya meninggal kerana penyakit jantung.

Gambar yang tersebar di laman sosial Facebook dan WhatsApp mendakwa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemui terbaring selepas ditembak perompak.

Kejadian dikatakan berlaku petang tadi yang mana gambar mangsa dalam keadaan muka ditutup dengan sehelai kain berwarna putih.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah yang dihubungi menafikan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, tiada kejadian tembak yang berlaku di negeri ini dan meminta orang ramai tidak mempercayai berita berkenaan sekali gus berhenti menyebarkan gambar berkenaan.

"Bagaimanapun, polis ada menerima makluman penggera bank di Jalan Sultan Ismail berbunyi 4.10 petang tadi.

"Siasatan mendapati terdapat pengawal keselamatan berusia 56 tahun terbaring dan meninggal dunia.

"Siasatan awal rekod perubatan mendapati mangsa menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, dan kolestrol.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya.

myMetro 7 November 2015

0 comments:

Post a Comment