November 21, 2015

Melekat di pokok

Mangsa yang terperangkap dalam kenderaan diselamatkan.

Bagan Serai: Seorang pemotong rumput menahan sakit lebih setengah jam apabila kenderaan pacuan roda yang dinaiki bersama empat lagi rakan dirempuh lori muatan berat di Kilometer 3.5, Jalan Bukit Merah berhampiran Kubu Gajah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Abdul Hamid Abdul Khalid, 50-an, patah paha kiri manakala dua lagi rakannya cedera apabila kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang mereka naiki dirempuh lori muatan tanah yang terbabas.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan kelima-lima mangsa dalam perjalanan dari Bukit Merah menghala Gunung Semanggol untuk pulang ke rumah.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat lori Nissan yang datang dari arah bertentangan terbabas kerana mengelak bas kilang yang berhenti mengejut.

“Akibatnya lori terbabit merempuh kenderaan pacuan empat roda berkenaan dan sebelum menyeret kenderaan itu ke kiri jalan menyebabkan ia melekat pada pokok,” katanya, semalam.

Omar Bakhtiar berkata, kesan seretan dan hentaman kuat pada pokok itu menyebabkan pemandu pacuan empat roda berkenaan serta Abdul Hamid yang berada di bahagian penumpang belakang tersepit sebelum diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai.

Menurutnya, mangsa dan tiga mangsa lain yang cedera termasuk seorang patah paha kiri dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan.

myMetro 20 November 2015




0 comments:

Post a Comment