November 5, 2015

Mayat wanita ditemui lengkap berpakaian di Tangkak

TANGKAK: Mayat seorang wanita yang lengkap berpakaian ditemui seorang pekerja SWCorp ketika sedang memotong rumput di Jalan Belading-Bekoh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohamad Salleh Abd Razak, berkata mayat wanita terbabit yang dianggarkan berusia 40-an, ditemui pekerja itu pada 8 pagi di bahu jalan berkenaan iaitu berdekatan rumah anak yatim Persatuan Sri Sakhti, tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mayat wanita itu berpakaian gaun paras lutut berwarna coklat dan kuning tanpa kasut atau selipar. Mayat wanita ini juga sangat kurus dan kita percaya perempuan ini sudah meninggal dunia lebih 24 jam," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang kecederaan luaran dan mayat dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan anggota keluarga boleh hadir ke Hospital Tangkak untuk membuat pengecaman.

Sementara itu, seorang pemandu lori, Toh Siew Lan, 67, maut selepas lori yang dipandunya terbabas akibat dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan di Kilometer 7, Jalan Muar-Segamat, semalam.

Mohamad Salleh berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, lori mangsa dilanggar sebuah kereta dari arah belakang dan mengakibatkannya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

"Mangsa yang cedera parah di bahagian dada dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar namun meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta itu pula cedera di kepala dan dirawat di Hospital Pantai, Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

4 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment