November 26, 2015

Mayat lelaki ditemui tersangkut di akar kayu

BINTULU: Suami isteri leka menjala ikan di Sungai Semawan dekat ladang Sarawak Oil Palms (SOP) Berhad, Belaga di sini dikejutkan penemuan mayat seorang lelaki tersangkut di akar sebatang pokok jam 12.45 tengah hari Isnin lalu.

Pasangan itu memaklumkan kepada menantunya, Dominic Leju untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga bagi menjalankan siasatan penemuan mayat lelaki itu.

Sepasukan polis IPD Belaga diketuai Inspektor Miki Mohan Singh bergegas ke lokasi kejadian dan sampai sekitar jam 3.30 petang menjalankan pemeriksaan mayat lelaki itu.

Hasil pemeriksaan mendapati objek yang tersangkut di akar kayu itu merupakan mayat seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju.

Menurut maklumat polis, mayat terbabit didapati tergantung pada akar kayu lebih kurang empat kaki dari paras air.

“Polis mengandaikan mangsa meninggal dunia antara empat atau lima hari lalu iaitu semasa kawasan terbabit dilanda banjir,” katanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai ketinggian sekitar 5 kaki 5 inci, kepala botak, berseluar pendek warna biru muda dan terdapat satu jalur putih di tepi seluar dipakainya.

“Kita mengalami kesukaran mengenal pasti mangsa kerana bahagian muka dan perut sudah reput dipercayai dimakan binatang buas,” jelasnya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi urusan bedah siasat dan hasilnya menunjukkan tiada unsur jenayah terhadap mangsa.

Orang awam kehilangan ahli keluarga atau mempunyai saudara-mara lama tidak pulang ke rumah menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Major Bujang Dawit di talian 016-8748018 atau Balai Polis Belaga (086-461318).

Utusan Borneo 25 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment