November 21, 2015

Maut usai solat Maghrib

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

KUALA LIPIS - Perjalanan pulang seorang pekerja perlombongan J Resources Penjom Golden Mine (JRPGM), Penjom dari tempat kerja ke rumahnya yang terletak di Taman Muhibah, Batu 4, di sini berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam satu kemalangan kira-kira jam 7.20 malam, kelmarin.

Lebih menyayat hati, mangsa, Muhammad Saufi Amirul Amirnuddin menemui ajal di hadapan Masjid Kampung Salang yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, Muhammad Saufi Amirul menunggang motosikal jenis Yamaha LC secara berseorangan setelah selesai bekerja di lombong berkenaan.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian di Kilometer 7, Jalan Lipis-Benta berhadapan masjid Kampung Salang, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori balak.

“Siasatan awal polis mendapati, pemandu lori balak berkenaan berusia 32 tahun baharu selesai menunaikan solat Maghrib di masjid terbabit dan ingin meneruskan perjalanan ke Padang Tengku.

“Lori balak terbabit diparkir di bahu jalan dan ketika pemandunya baru memulakan perjalanan, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di bahagian tengah lori.

“Pemandu lori tersebut kemudiannya bertindak memberhentikan kenderaan dan terkejut apabila melihat mangsa tercampak ke tengah jalan,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, mangsa maut serta merta akibat cedera parah di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Menurutnya, jenazah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Salang pada pagi semalam.

“Ketika kejadian, hujan turun dengan lebat, permukaan jalan licin, jalan lurus dan suasana agak gelap.

”Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nafis Nazaruddin menerusi talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 21 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment