November 8, 2015

Maut jatuh pangsapuri

SELAYANG - Seorang kakitangan awam terkejut apabila bunyi kuat yang disangkanya objek berat jatuh dari tingkat atas rupanya manusia.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, seorang lelaki berusia 50 tahun lengkap berpakaian ditemui mati selepas terjatuh dari sebuah pangsapuri di Selayang Heights.

Seorang penduduk, Helmi Adanan, 37, berkata, dia yang ketika itu berada di tingkat bawah mahu menghantar anaknya ke sekolah terkejut dengan bunyi kuat yang jatuh beberapa meter dari motosikalnya.

“Seorang penduduk yang keluar dari lif panggil saya beritahu ada lelaki dah terbaring atas tanah.

“Kami cuba panggil mangsa untuk tahu keadaannya, tapi dia tak menyahut. Nak sentuh takut kecederaan makin teruk, jadi saya segera hubungi polis dan ambulans,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan kesan luka pada bahagian perut dan tangan kirinya patah.

“Badannya ada kesan calar terkena ranting pokok, lepas tu darah keluar banyak dari mulut.

“Ambulans dan polis datang kira-kira 15 minit selepas kejadian, sementara mayat diangkat jam 9 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan kejadian.

“Mangsa adalah warga tempatan berstatus duda berusia 50 tahun tinggal di pangsapuri berkenaan.

“Tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan awal mendapati mangsa menghadapi masalah peribadi,” katanya.

Sinar Harian 7 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment