November 25, 2015

Maut ditikam abang kandung

MIRI 23 Nov. - Demikianlah apabila seorang abang sanggup menikam adik kan­dungnya mengguna pisau dalam pergaduhan di rumah di Tudan, semalam.

Mangsa, Frankie Ramli, 23, disahkan maut di Hospital Miri ekoran mengalami kecederaan parah di dada dan pergelangan tangan.

Menurut Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, kedua adik-beradik tersebut telah bertengkar dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek berusia 25 tahun dikatakan mengambil sebilah pisau di dapur dan menikam mangsa beberapa kali.
“Akibat tikaman itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan pergelangan tangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, be
liau berkata, selepas melihat darah yang mengalir daripada adiknya, suspek panik dan menghantar mangsa untuk mendapatkan rawatan kecemasan ke Hospital Miri.

“Namun, selepas beberapa jam menerima rawatan di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di situ. Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

Utusan 24 November 2015

0 comments:

Post a Comment