November 7, 2015

Maut berbalas tembak

Lahad Datu: Lelaki maut ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di rumah kosong berhampiran kawasan penempatan rumah pekerja, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.15 pagi tadi itu, suspek, Sedino Mas Drain berusia lingkungan 60-an meninggal dunia di lokasi kejadian.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abd Rashid Harun berkata, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas lelaki Filipina itu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan ketika menjalankan Ops Gasak bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) dari rumah kosong berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa yang dikenali sebagai Sedino Mas Drain mati di tempat kejadian.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa memiliki pistol .38 dengan tiga butir peluru hidup dan satu butir peluru sudah diguna suspek untuk menembak pasukan keselamatan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat suspek sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk urusan bedah siasat.

myMetro 6 November 2015

0 comments:

Post a Comment