November 28, 2015

Masjid dipanah petir

AZMI menunjukkan siling pecah selepas dipanah petir, kelmarin.

Shah Alam: “Ketika kejadian, seramai 23 pelajar tahfiz dapat rasa gegaran sangat kuat seakan-akan gempa kecil yang melanda di pekarangan masjid,” kata Azmi Daud, 46.

Beliau yang juga Imam Masjid Lama Al-Falah, Sri Muda, Seksyen 25, dekat sini, menceritakan kejadian masjid itu dipanah petir, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu mengakibatkan siling di bahagian ruangan solat utama masjid rosak teruk berikutan kebakaran kecil disebabkan petir yang menyambar.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan hampir keseluruhan struktur siling musnah hingga bekalan elektrik terputus dan kerugian kira-kira RM50,000.

Azmi berkata, bunyi dentuman guruh sangat kuat sebanyak tiga kali sebelum kilat menyambar siling masjid hingga 23 pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran Wa Attalim Al Islamiah dalam sesi pembelajaran di bilik sebelah terkejut.

Beliau berkata, insiden menyebabkan ada di antara pelajar yang trauma, namun bersyukur kerana tiada sesiapa di ruang solat berkenaan ketika kejadian.

“Apabila mendengar bunyi yang kuat, pelajar terus berlari ke dalam masjid dan melihat siling di ruang solat terbakar. Mereka bertindak pantas menyimbah air memadamkan kebakaran berkenaan bagi mengelak daripada terus merebak ke bahagian lain.

“Ini dugaan kedua terbesar yang pernah berlaku, pembinaan semula asrama yang terbakar Jun tahun lalu masih terbengkalai akibat kekurangan dana RM500,000 lagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Azmi berkata, buat sementara, solat jemaah dilakukan di ruang solat di bahagian luar sementara menunggu bekalan elektrik disambung semula dan selamat untuk digunakan.

Dia mengakui kejadian itu menimbulkan kegusaran ditambah dengan masalah asrama sementara yang didiami pelajar tahfiz ketika ini juga diancam tidak selamat.

“Asrama yang mereka huni buat sementara waktu ini adalah bangunan tambahan yang sudah usang dan tidak kukuh, selain tidak selesa, ia juga tidak selamat dan runtuhan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Oleh itu, bantuan orang ramai diperlukan untuk membaik pulih semula bekalan elektrik dalam masa terdekat sebelum pelajar tahfiz masuk semula daripada bercuti,” katanya.

myMetro 28 November 2015



0 comments:

Post a Comment