November 2, 2015

Makanan, nota buat guru hilang

Khairul menunjukkan ‘Talian Hayat’ yang digunakan bagi mencari Jashiah yang hilang sejak sepuluh hari lalu.

Hulu Selangor – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat, Jashiah Rabu, 53, yang hilang sejak 10 hari lepas ditumpukan di sekitar kawasan anak sungai Kampung Buluh Telur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata, pencarian guru besar berkenaan akan melibatkan enam anak su­ngai dalam lingkungan dua kilometer radius dari perkampungan Orang Asli kampung itu.

“Polis akan terus berusaha menjejak Jashiah dan berharap menjumpai wanita itu dalam masa dua atau tiga hari ini,” kata beliau ketika ditemui di pusat operasi di sini semalam.

Menurut beliau, operasi SAR itu melibatkan 61 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Veteran Komando Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung berkenaan.

“Pasukan operasi SAR kini dipecahkan kepada enam kumpulan dalam mengesan mangsa yang hilang, apa yang kami harapkan adalah Jashiah ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Supramaniam berkata, dalam operasi sama sebanyak 30 bungkus bantuan makanan kecemasan (Talian Hayat) berisi biskut, gula-gula, roti, lilin dan mancis akan ditempatkan di lokasi pencarian yang telah ditanda oleh polis sebelum ini.

Kosmo 2 Nov 2015


Cari guru besar sekitar enam anak sungai

Kuala Kubu Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru besar Sekolah Kebangsaan Tamat Keramat, Jashiah Rabu,53, yang hilang sejak 10 hari lalu, ditumpukan di sekitar kawasan anak sungai Kampung Buluh Telur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata pencarian guru besar berkenaan membabitkan enam anak sungai dalam lingkungan dua kilometer radius dari perkampungan Orang Asli kampung itu.

"Polis akan terus berusaha menjejak Jashiah dan berharap menjumpai beliau dalam masa dua atau tiga hari ini," katanya di pusat operasi di sini, hari ini.

Supramaniam berkata operasi SAR itu membabitkan 61 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Veteran Komando Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung berkenaan.

"Pasukan operasi SAR kini dipecahkan kepada enam kumpulan dalam mengesan mangsa yang hilang, apa yang kami harapkan adalah Jashiah ditemui dalam keadaan selamat," katanya.

Supramaniam berkata sebanyak 30 bungkus bantuan makanan kecemasan (Talian Hayat) berisi biskut, gula-gula, roti, lilin dan mancis ditempatkan di lokasi pencarian yang telah ditanda polis sebelum ini.

"Bungkusan berkenaan akan diletakkan setiap 300 meter bagi membantu Jashiah mendapat bekalan asas," katanya. - Bernama

myMetro 1 November 2015


Ibu cakap pelik

Kuala Kubu Bharu: “Ibu ada cakap jangan balik asrama, nanti tak jumpa lagi selain beberapa soalan pelik lain yang ibu cakap seperti kalau ibu dan ayah meninggal, siapa nak jaga saya nanti,” kata Farah Iwani Ruzilan, 16, mengenangkan kata-kata terakhir ibunya, Jashiah Rabu, 53, sebelum wanita itu dilaporkan hilang sejak 23 Oktober lalu.

Farah Iwani yang ditemui di pusat operasi di Kampung Orang Asli Buloh Telur di sini, semalam berkata, ketika itu, dia hanya menjawab pertanyaan ibunya tanpa mengesyaki sebarang perkara pelik akan berlaku.

Bagaimanapun, anak bongsu Jashiah itu berkata, dia sudah bersedia menerima segala kemungkinan selepas kehilangan ibunya memasuki hari ke-14, semalam.

“Saya reda dengan apa saja yang berlaku sebab ibu sudah hampir dua minggu tidak pulang.

“Namun, saya tetap berharap operasi ini dapat menemui ibu dalam keadaan selamat,” katanya sebak.

Menurutnya, kali terakhir dia menemui ibunya pada 23 September lalu sebelum dia pulang ke asrama Sekolah Agama Menengah Rawang.

Katanya, dia begitu merindui kepulangan ibunya dan berharap keajaiban akan berlaku dan ibunya ditemui dalam keadaan selamat.

“Sepanjang tempoh kehilangan ibu, abang sulung, Muhamad Syahidzul Izwan, 23, antara yang sentiasa mengikuti operasi pasukan menyelamat untuk mencari ibu.

“Abang antara yang paling rapat dengan ibu. Saya percaya abang juga sangat merindui ibu. Setiap perkembangan operasi akan dimaklumkan kepada kami sekeluarga.

“Ayah beritahu ketika menyertai operasi, abang turut memanggil ibu dan melaungkan azan dengan harapan dapat berjumpa semula dengan ibu,” katanya.

Operasi pencarian yang bermula jam 8 pagi setiap hari dianggotai seramai 82 orang daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Senoi Praq dan PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak serta Persatuan Malim Gunung Malaysia.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Jashiah yang dilaporkan hilang sejak 23 Oktober lalu pernah dilihat oleh penduduk Kampung Orang Asli Buloh Telur yang mendakwa ternampak mangsa berjalan seorang diri dalam keadaan tidak terurus.

myMetro 6 November 2015


'Kami tetap cari ibu'

Kuala Kubu Bharu: “Walaupun operasi mencari dihentikan sementara, saya dan keluarga akan terus berusaha mencari ibu sehingga dia ditemui,” kata Mohamad Irfan Ruzilan, 21, anak ketiga Jashiah Rabu, 53, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat I, Kuala Lumpur yang masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada 23 Oktober lalu.

Menurutnya, walaupun operasi di Kampung Buluh Telur, di sini, dihentikan sementara jam 9 pagi kelmarin, mereka sekeluarga masih menaruh harapan ibunya akan ditemui selamat.

“Hujan sejak kebelakangan ini mungkin menyukarkan operasi mencari, namun itu adalah rahmat daripada Allah.

“Saya berharap mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dapat tampil membantu mencari ibu kerana usaha untuk mengesannya akan diteruskan walau apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

myMetro 12 November 2015


40 hari sudah berlalu...

Kuala Kubu Bharu: “Kehilangannya sejak 40 hari lalu sangat dirasai. Sepanjang 23 tahun hidup bersama tiba-tiba isteri hilang sekelip mata menyebabkan kehidupan kami hilang seri,” kata Ruzilan Omar, suami Jashiah Rabu, 53, yang hilang dari rumahnya di Taman Seri Seruling, dekat sini sejak 23 Oktober lalu.

Sehingga kelmarin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat Satu, Kuala Lumpur itu masih belum ditemui.

Kali terakhir Jashiah didakwa dilihat di kawasan perkampungan Orang Asli Buloh Telor 10 kilometer dari rumahnya pada 24 Oktober lalu.

Ruzilan, 58, berkata, sejak kehilangan itu, pelbagai usaha dilakukan sama ada melalui pencarian dilakukan pihak berkuasa, persendirian serta tradisional, namun masih belum berhasil.

Sehingga hari ini, katanya, pelbagai pihak tampil membantu walaupun pusat operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

myMetro 3 Disember 2015


'5 bulan ghaib tanpa berita'

Kuala Kubu Bharu: “Rabu ini (23 Mac) genap lima bulan isteri hilang dan perasaan kami sekeluarga kini bercampur baur namun kami berserah kepada Allah kerana apa yang berlaku atas kehendak-Nya,” kata Ruzilan Omar, suami Jashiah Rabu, 53, yang hilang dari rumahnya di Taman Seri Seruling, dekat sini, sejak 23 Oktober lalu.

Ruzilan, 58, berkata, lima bulan bukan satu tempoh singkat dan sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari isterinya.

Menurutnya, sepanjang usaha mencari itu, pelbagai maklumat diterima daripada pihak tertentu namun sehingga kini isterinya belum ditemui.

“Ada kata isteri saya di Pahang, Johor, malah sudah keluar dari lokasi dia dilaporkan hilang, namun sehingga kini tiada sesiapa nampak.

“Begitupun, berdasarkan perkembangan melalui pengamal perubatan Islam, isteri masih hidup dan sihat, cuma mindanya kosong dan tak tahu bila dia akan pulang,” katanya di sini, semalam.

Jashiah yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat Satu, Kuala Lumpur hilang dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Oktober lalu dan sehari kemudian dilihat di kawasan perkampungan Orang Asli Buloh Telor, 10 kilometer dari rumahnya.

Ruzilan berkata, sebelum ini, dia bermimpi isterinya pulang ke rumah, namun tidak lama kemudian dia tersedar.

“Kebanyakan mimpi saya berlaku pada waktu siang ketika saya terlelap.

“Dalam satu mimpi itu, isteri tiba-tiba pulang dan saya terus mengajaknya mengerjakan umrah sebelum saya terus tersedar,” katanya.

myMetro 17 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment