November 14, 2015

Lelaki lemas jalani kursus penyelam

BAU: Seorang lelaki tidak sempat menamatkan kursus penyelam yang disertainya apabila lemas ketika mengikuti satu sesi latihan di Tasik Biru di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Rohailan Raduan, 33, dari Kampung Sandong, Batu Kawa, Kuching gagal timbul di permukaan air selepas menyelam bersama seorang rakannya.

Sumber berkata, sebaik berjaya ditemui di dasar tasik dan dibawa naik ke permukaan air, mangsa dihantar ke Hospital Bau untuk pemeriksaan lanjut, namun pegawai perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, mangsa bersama sekumpulan enam rakan yang bersama-sama mengikuti kursus penyelam untuk mendapatkan Sijil Kecekapan Menyelam turun dari jeti dan menyelam secara berpasangan.

"Setiap pasangan turun dari jeti ke dalam air serentak untuk tempoh beberapa minit dengan kedalaman antara 20 hingga 30 meter.

"Namun, apabila diarahkan naik ke permukaan air, hanya pasangannya sahaja yang timbul, manakala mangsa gagal untuk naik ke permukaan air," katanya ketika ditemui di Hospital Bau.

Jurulatih yang ada di jeti nampak buih di permukaan air, dipercayai udara dari tangki oksigen mangsa, segera turun ke dalam air untuk menyelamatkan lelaki itu.

Kira-kira jam 4.10 petang, mangsa berjaya dibawa naik ke permukaan dan didapati sudah tidak sedarkan diri. Penyelia kursus segera menghantar mangsa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.

Sumber itu berkata, mangsa menyertai kursus penyelam itu sejak Oktober lalu dan dijangka menamatkan kursus pada awal Disember ini.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dan menunggu laporan bedah siasat untuk mengenalpasti punca kejadian itu.

Berita Harian 12 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment