November 9, 2015

Lelaki intai, onani diburu polis


Tindakan lelaki berkenaan berjaya dirakam CCTV. - Foto : Facebook

AMPANG – Seorang lelaki kini diburu polis selepas tindakan tidak senonohnya mengintai dan melakukan onani di lorong belakang sebuah rumah di Pandan Perdana, dekat sini.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.22 tengah malam, kelmarin, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di lorong belakang rumah berkenaan.

Ketika kejadian, seorang gadis berusia 17 tahun yang merupakan salah seorang penghuni rumah terbabit sedang berehat di ruang tamu, manakala ibunya berada di dapur.

Insiden itu bagaimanapun disedari ibu gadis tersebut yang melihat ada pergerakan di belakang rumah mereka sebelum terus ke ruang tamu untuk membuka televisyen disambungkan ke CCTV.

Rakaman berdurasi 2 minit 20 saat itu mula tersebar di laman sosial dan mendedahkan suspek berusia lingkungan 30-an dalam keadaan berbogel sedang mengintai menerusi tingkap di belakang rumah sebelum bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.

“Sehingga kini (petang semalam) masih belum ada tangkapan dibuat. Usaha menjejak lelaki tersebut giat dijalankan berdasarkan rakaman CCTV,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang.

Sinar Harian 9 November 2015


Pelajar kolej aibkan kehormatan suri rumah didakwa di mahkamah

AMPANG JAYA – Seorang pelajar kolej swasta yang dikaitkan dengan satu video viral menunjukkan seorang lelaki mengintai jirannya sambil melakukan onani minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini semalam.

Tertuduh, Ahmad Zikrizaid Abdullah, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zikrizaid didakwa mengaibkan kehormatan seorang suri rumah berusia 47 tahun dengan cara menunjukkan kemaluan dalam keadaan bogel terhadap mangsa di belakang dapur sebuah rumah di Jalan Pandan Indah dekat sini pada pukul 12.20 tengah malam 7 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo 13 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment