November 1, 2015

Lelaki hilang ditemui lemah

FOTO Aminudin Ismail

Setiu: Pengait kelapa sawit warga Thailand, Yahya Che som, 24, yang hilang di Hutan Bukit Munduk, di sini, sejak Rabu lalu ditemui dalam keadaan lemah 1 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, lelaki berkenaan ditemui di kawasan padang kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Menurutnya, mangsa ditemui lemah dan mempunyai beberapa kesan luka di badannya.

"Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai polis, JPAM, RELA serta penduduk kampung melakukan operasi pencarian meliputi kawasan seluas enam kilometer persegi.

"Dengan penemuan mangsa, operasi yang dijalankan sejak dia dilaporkan hilang ditamatkan," katanya.

myMetro 1 November 2015


Lari masuk dalam hutan

SETIU - Pengorbanan seorang abang yang sanggup datang dari Narathiwat, Thailand, untuk sama-sama berusaha mencari adik bongsunya yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu, berbaloi apabila darah dagingnya itu selamat ditemui kira-kira 1 petang semalam.

Mangsa yang merupakan warganegara Thailand, Yaya Cheh Omar, 24, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan operasi masuk hari keempat semalam, di kawasan padang, kira-kira 150 meter dari rumahnya di Kampung Bukit Munduk, di sini.

Suasana begitu meruntun jiwa apabila mangsa yang dalam keadaan basah kuyup dan tidak bermaya, bukan sahaja memeluk erat abangnya, Lipli Che Umar, 31, tetapi juga mengulangi panggilan ‘abe’ selain kelihatan seolah-olah dalam ketakutan.

Abang bantu pencarian

Difahamkan, Lipli tiba bersama isteri, Nurisan Dotebayah, 20, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin dan turut menyertai operasi mencari semalam, termasuk menyebut nama adik bongsu dari lima beradik itu serta bercakap menggunakan bahasa Thailand.

Mangsa yang bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit, berkhidmat di negara ini sejak lebih setahun lalu dan kali terakhir pulang ke Narathiwat untuk berjumpa ahli keluarga di sana pada Aidilfitri lalu.

Menurut Nurisan, selama mengenali mangsa, dia tidak pernah melihat dan mengetahui kelakuan pelik berlaku pada mangsa dan pastinya kejadian tersebut benar-benar mengejutkan dia sekeluarga, apatah lagi sehari sebelum itu dia telah lakukan perkara sama.

“Saya sendiri tidak mengetahui apa sebenar telah terjadi kepadanya sehingga dia bertindak melarikan diri ke dalam hutan secara tiba-tiba. Ibunya di sana (Narathiwat) tidak diberitahu cerita ini kerana tidak mahu dia (ibu mentua) bimbang. Lagipun dia sudah berusia.

“Syukurlah, hari ini (semalam) adik ipar telah ditemui dalam keadaan basah kuyup dan ada beberapa kesan calar di badannya. Sekurang-kurangnya kedatangan saya dan suami ke sini berbaloi setelah mangsa selamat dijumpai,” katanya ketika ditemui di
Bukit Munduk, di sini, semalam.

Ditemui dalam keadaan tidak bermaya

Sementara itu, ketika ditemui di lokasi kejadian, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lemah dengan berpakaian seperti dilaporkan hilang iaitu berkain pelekat hijau, berbaju T merah dan berkaki ayam.

“Mangsa ditemui pasukan penyelamat ketika berjalan dalam keadaan tidak bermaya, selain terdapat beberapa kesan luka atau calar di badannya. Ketika ditemui, mangsa cuba melarikan diri dan kelihatan seolah-olah dalam keadaan keliru serta ketakutan.

“Hari ini (semalam) merupakan hari kelima mangsa didapati hilang serta hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 83 individu terdiri daripada polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, Bomba dan Penyelamat serta orang kampung.

“Kawasan pencarian meliputi kira-kira enam kilometer persegi. Berikutan penemuan mangsa ini, operasi SAR ditamatkan hari ini (semalam) dan mangsa juga dihantar ke Hospital Setiu bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Kelakuan pelik sebelum hilang

Mengimbau kejadian kehilangan mangsa, dua pupunya, Seni Sulong, 17, berkata, sebelum mangsa bertindak melarikan diri ke arah hutan secara tiba-tiba, kira-kira jam 11.30 pagi Rabu lalu, mereka terlebih dahulu menikmati makanan di rumahnya.

“Dia (mangsa) kemudian keluar daripada rumah, difahamkan untuk buang air kecil, dan terus berada di luar rumah. Dia hanya berdiam diri dan lebih kurang sejam selepas itu, tidak semena-mena dia terus berlari ke arah hutan di belakang rumah.

“Melihat kelakuannya yang agak pelik, saya cuba mengejar sambil memanggil namanya, tetapi tidak berjaya sehinggalah kelibatnya hilang dari pandangan. Syukurlah dia selamat ditemui hari ini, tidak berapa jauh dari rumahnya.

“Malam kejadian, dia tidur di rumah kerana berubat secara tradisional setelah pada sebelah siangnya (Selasa), dia telah didapati hilang kira-kira jam 9.30 pagi, sebelum ditemui kembali sekitar jam 1.30 pagi berdekatan pokok petai di belakang rumah.

“Keadaannya selepas itu memang tidak seperti biasa kerana dia begitu pendiam dan berkelakuan pelik. Tidak sangka pagi Rabu lalu, sekali lagi dia melarikan diri dan sebelum ini dia tidak pernah bertindak seperti itu,” katanya.

Sinar Harian 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment