November 8, 2015

Kutip bunga tampung belanja

Zulpuri (kiri) bersama Peter Ong (tiga, kanan) ketika melawat keluarga Muniandy (empat, kanan) di Kampung Netas.

MENTAKAB – Sebuah keluarga India di Kampung Netas di sini bergantung hidup hanya dengan mengutip bunga dengan pendapatan RM5 sehari selepas ketua keluarganya terlibat kemalangan lima tahun lalu.

K Muniandy, 49, yang tidak dapat bergerak akibat kemalangan tersebut berkata, walaupun mereka sekeluarga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan namun peningkatan kos sara hidup dengan lima anak, ia tidak mencukupi.

Menurutnya, bagi menambah pendapatan isterinya P Tanalachymi, 32, mengambil peluang mengutip bunga untuk upacara keagamaan Hindu dengan upah sekitar RM5 sehari.

“Bantuan daripada JKM digunakan untuk membayar sewa rumah RM130 sebulan dan belanja dapur serta persekolahan anak-anak.

“Saya ada lima anak, empat daripadanya masih bersekolah dan seorang berumur tiga tahun,” katanya yang sangat sedih untuk menyambut Deepavali akan datang memandangkan tidak mampu untuk membuat sebarang persiapan.

Bagi meringankan beban ditanggung mereka sekeluarga, Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama pembantunya Peter Ong melawat keluarga tersebut di rumahnya di Kampung Netas, Batu 5 Jalan Karak di sini.

Zulpuri berkata, diharapkan dengan bantuan barangan dapur disumbangkan itu serba sedikit dapat memberi keceriaan buat mereka sekeluarga untuk menyambut Deepavali.

Beliau berkata, kepada mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga Muniandy boleh berhubung dengan Pejabat Adun Mentakab di talian 09-2772335.

“Sempena Deepavali ini pihak kami akan mencari keluarga kaum India yang miskin untuk dilawati dan dibantu dengan kadar kemampuan kami,” katanya.

Sinar Harian 7 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment