November 30, 2015

Keluar rumah sejak 9 hari lalu

Mohd Zihad menunjukkan gambar ayahnya dan salinan laporan polis yang dibuat atas kehilangan warga emas berkenaan.

SEBERANG JAYA - Seorang lelaki mencari ayahnya yang menghilangkan diri sejak sembilan hari lalu ketika mereka ke rumah saudara di Jalan Pintas Sembilang 7, Seberang Jaya.

Mohd Zihad Mohd Nor, 28 berkata, ayahnya Mohd Nor Bidin disedari hilang  pada 21 November lalu.

Menurutnya, ayahnya itu menghidap penyakit Alzheimer dan ketika ayahnya keluar dia tidak membawa ubat dan dokumen pengenalan diri bersama,

“Kami rancang untuk menghadiri kenduri saudara di Kedah, saya bersama isteri, ayah dan nenek mertua menumpang tidur  di rumah  mak saudara.

“Malam masa kejadian, saya tidur dengan ayah, saya sedar yang ayah tiada masa nak bangun Subuh, sedar sahaja, ayah sudah tiada di sebelah saya,” katanya.

Mohd Zihad berkata, selepas menyedari kehilangan ayahnya, dia segera mencari warga emas itu di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Jelasnya, usaha itu menemui jalan buntu menyebabkan dia membuat laporan polis mengenai kehilangan berkenaan.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa buah hospital saya sudah maklumkan, namun sehingga kini ayah belum dapat ditemui

“Saya ada buat satu poster mengenai kehilangan ayah dan tampal di sekitar kawasan di sebelah pulau dan Seberang Perai,” katanya.

Mohd Zihad berkata, kali terakhir ayahnya dilihat berpakaian baju T berkolar merah, berseluar hitam dan selipar berwarna coklat gelap.

"Saya rindu ayah saya, saya harap dapat bertemu ayah semula, Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya. Saya hanya mampu berdoa agar saya dapat bertemu segera dengan ayah,” katanya.

Orang ramai yang terjumpa Mohd Nor boleh menghubungi Mohd Zihad di talian 017-8605929, 017-4879492 dan 013-6891547 atau menghubungi balai polis berdekatan kerana keluarga bimbang akan kesihatan warga emas berkenaan.

Sinar Harian 30 Nov 2015


Buntu ayah hilang sejak Jumaat lalu

SEREMBAN – Seorang anak buntu apabila bapanya yang berusia 74 tahun tidak pulang ke rumah sejak lapan hari lalu.

Muzaimah Mohd Nor, 33 berkata, bapanya mengalami Alzheimer dan ketika keluar rumah tidak membawa kad pengenalan, duit mahupun ubat yang perlu diambilnya.

“Ayah saya keluar rumah sehelai sepinggang. Kad pengenalan, duit dan ubat dia tak bawa. Ayah pula nyanyuk,” katanya.

Muzaimah yang tinggal di Taman Teratai, Senawang, di sini, bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap bapanya, Mohd Nor Bidin.

Menurut Muzaimah, adiknya, Mohd Zihad, 28, telah membawa bapa mereka ke rumah ibu saudara di Taman Sembilang, Seberang Prai, Pulau Pinang, pada 19 November lalu.

“Pagi itu, adik bangun tidur jam 5 pagi untuk solat Subuh terperanjat bila  lihat pintu rumah terbuka. Ayah pula tiada di tempat tidurnya dan dia mengesyaki ayah dah keluar rumah.

“Hingga ke hari ini, ayah masih tidak pulang dan gagal dikesan. Kami sekeluarga puas mencari ayah di sekitar Pulau Pinang tapi masih tidak jumpa,” katanya.

Muzaimah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini, berkata, bapanya menghidap Alzheimer sejak lima tahun lalu.

“Ayah bergantung pada ubat dan jika dia tak makan ubat, dia akan lupa semuanya... termasuk diri sendiri pun dia tak tahu siapa.

"Kami syak ayah tidak ingat ketika keluar rumah dan tidak tahu macam mana mahu pulang.

“Kami bimbang sangat dengan keadaan ayah, entah makan ke tidak.. sebab ayah tak bawa duit. Dalam usia dia begitu dan tidak kuat, harap ada orang yang simpati pada ayah,” katanya.

Menurutnya, dia yakin bapanya kini berada di sekitar Melaka kerana ada orang melihatnya di sekitar Melaka Sentral, Isnin lalu.

“Kami usaha cari ayah di sekitar Melaka dan mengedarkan gambar ayah di semua tempat. Ada yang melihat ayah di Melaka Sentral, Bukit Baru dan Masjid Al-Azim.

“Kalau ada sesiapa yang melihat ayah boleh menghubungi saya menerusi talian 019682 8196 atau bawanya ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian  28 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment