November 25, 2015

Kelindan maut treler terbabas

Operasi menyelamat dilakukan oleh anggota Balai Bomba Selayang dan dibantu PBS Gombak.

GOMBAK - Seorang kelindan treler maut manakala pemandunya cedera apabila kenderaan yang membawa muatan pasir itu terbalik di Kilometer 35.2, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur berhampiran terowong Karak kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Mereka yang datang dari arah Karak menuju ke Kuala Lumpur dipercayai terbabas melanggar pembahagi belah kanan jalan sebelum terbalik dan melintangi jalan sehingga menyebabkan dua lorong terhalang.

Treler berkenaan yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai dalam keadaan laju berdasarkan kesan brek sepanjang 58 meter di lorong tengah.

Kenderaan berat itu terbalik sepenuhnya menyebabkan kelindan tersepit dan tidak dapat diselamatkan akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Operasi Balai Bomba Selayang, Abdul Razak Mokhtar berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa terperangkap di kepala lori yang remuk teruk itu.

“Pemandu telah dikeluarkan sewaktu bomba tiba dan mengalami cedera di bahagian kaki dan tangan serta mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

“Tiada kenderaan lain terlibat semasa insiden itu. Bahagian badan lori pula terbalik dekat pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 11.30 malam dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Operasi menyelamat melibatkan 11 anggota dari Balai Selayang dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak.

Abdul Razak berkata, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian 25 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment