November 30, 2015

'Keldai dadah' masuk sekolah

Kuala Lumpur: Pujuk pelajar menjadi ‘keldai dadah’ sebelum diarah membawa syabu ke sekolah. Itu antara taktik dikesan polis berhubung kegiatan pengedaran dadah sekitar ibu kota.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar polis, sekali gus menyelamatkan pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipergunakan sindiket tanpa pengetahuan mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, polis menyelesaikan satu kes keldai dadah membabitkan pelajar perempuan yang diperdaya sindiket dadah untuk mengedar dadah.

Menurutnya, siasatan mendapati pelajar perempuan itu tidak terbabit secara langsung dengan aktiviti jenayah itu.

“Pelajar ini tidak tahu barang yang dibawa itu adalah dadah dan siasatan juga mendapati ada sindiket yang mengarahkannya membawa syabu ke sekolah untuk diserah kepada pembeli,” katanya ketika ditemui pada Karnival Semarak Komuniti 1Malaysia Peringkat Parlimen Kepong, di Jalan Sri Segambut di sini, semalam.

Menurutnya, polis kini dalam usaha meletakkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dapat membantu mengurangkan kecederungan melakukan jenayah di kalangan pelajar sekolah.

“Melalui cara ini, polis sentiasa dapat berhubung rapat dengan pihak sekolah dalam pemantauan disiplin pelajar itu dengan lebih efektif.

“Setiap pegawai PPS akan menghantar laporan kepada saya setiap bulan dan sekiranya ada keperluan untuk memantau mana-mana pelajar, polis akan memanggil ibu bapanya ke sekolah untuk menyelesaikan masalah pelajar itu,” katanya.

Menurutnya, polis menempatkan seorang pegawai PPS di setiap sekolah di daerah Sentul untuk memantau dan berbincang dengan pihak sekolah berkenaan disiplin pelajar.

myMetro 30 November 2015

0 comments:

Post a Comment