November 30, 2015

Kebakaran ketika solat Subuh

IHSAN Bomba dan Penyelamat

Yan: Tujuh rumah hangus dalam kebakaran di Pondok Haji Hussein, Guar Chempedak, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, kejadiaan ketika kebanyakan penghuni sedang menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan, kira-kira 6 pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Guar Chempedak, Pegawai Bomba Kanan II Azahari Md Saad, berkata pihaknya menerima panggilan awam berhubung kejadian pada 6.35 pagi.

Katanya, sebelas anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba api sedang marak membabitkan rumah kelas C.

Katanya, tindakan memadamkan api dilakukan sebelum dapat dikawal pada 6.43 pagi.

"Semua penghuni menyelamatkan diri masing-masing dan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

myMetro 29 November 2015


Tragedi Subuh

KEADAAN enam pondok Haji Hussein yang musnah dalam kebakaran awal pagi.

Yan: Suasana tenang penghuni pondok agama sedang melakukan wirid sebaik selesai menunaikan solat Subuh bertukar menjadi kelam-kabut apabila mereka dikejutkan dengan kebakaran beberapa rumah di Pondok Haji Hussien, Guar Chempedak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi, tujuh rumah musnah dalam kebakaran itu menyebabkan tujuh penghuni termasuk pasangan suami isteri hilang tempat tinggal selain tinggal sehelai sepinggang manakala harta benda mereka hangus.

Mangsa yang juga saksi Fatimah Din, 71, berkata ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Subuh di rumah itu dan bersiap-siap menghadiri kursus umrah di Sungai Petani kerana akan berangkat ke tanah suci Makkah pada Februari tahun depan.

Menurutnya, secara tiba-tiba dia terhidu bau hangit dan terdengar bunyi letupan kecil dari bumbung lalu mendongak untuk melihat sebelum mendapati api sedang marak.

Dia menjerit meminta tolong sambil tangannya menyambar beberapa helai pakaian dan dihimpunkan di atas katil untuk dibawa keluar.

“Bagaimanapun, saya bertambah cemas sebaik melihat serpihan zink dan juga kayu yang terbakar jatuh ke lantai menyebabkan api merebak di bahagian bawah pula.

“Ketika itu saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, apatah lagi melihat api merebak di lantai rumah sebelum terdengar suara anak jiran menjerit memanggil saya supaya keluar menyelamatkan diri.

“Dalam keadaan cemas, saya bergegas keluar meninggalkan rumah tanpa sempat mengambil pakaian yang dihimpunkan kerana bimbang berlaku kejadian buruk,” katanya.

Fatimah berasal dari Jitra dan tinggal sebatang kara selepas berpisah dengan suami sejak lebih 30 tahun lalu tanpa dikurniakan cahaya mata menyebabkan dia mengambil keputusan tinggal di pondok terbabit bagi mempelajari agama.

“Saya memang tiada rumah sendiri dan sebelum ini saya hanya tinggal menumpang di rumah saudara-mara saja sehingga dapat tinggal di pondok ini sejak lima tahun lalu,” katanya.

Mangsa lain, Salmah Aziz, 57, berkata ketika kejadian dia berada di masjid berdekatan sebelum semua jemaah dikejutkan dengan berita kebakaran pondok agama berkenaan.

Katanya, ketika itu semua jemaah sedang berwirid kerana baru selesai menunaikan solat Subuh, namun wirid mereka terhenti apabila didatangi penduduk berdekatan memberitahu mengenai kejadian itu.

“Hanya Allah tahu perasaan hiba saya sebaik melihat rumah yang menjadi tempat berteduh selama ini musnah sekelip mata, namun saya reda ketentuan ini,” katanya.

Anak kepada seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, dia baru selesai solat sebelum dikejutkan dengan jeritan meminta tolong lalu membuka tingkap dan mendapati rumah jiran terbakar.

Dia dan keluarga tinggal di Alor Setar dan datang bermalam di rumah ibunya, petang kelmarin sempena cuti sekolah selain mahu menghadiri majlis kenduri saudara mereka di Guar Chempedak.

Pengurus Pondok Haji Hussien, Mohd Nazri Abd Rahman berkata, dia dimaklumkan hanya dua rumah yang berpenghuni ketika kejadian manakala yang lain keluar menunaikan solat berjemaah di masjid berdekatan.

Dia yang tinggal berdekatan terdengar bunyi bising lalu keluar dari rumah untuk melihat dan mendapati api marak membakar rumah.

“Saya bergegas memeriksa keadaan dan mendapati penghuni keluar menyelamatkan diri sebelum kami membawa keluar beberapa tong gas bagi mengelak letupan sementara menanti ketibaan bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.29 pagi dan 13 anggota membabitkan dua jentera dari BBP Guar Chempedak dan juga BBP Yan dikejarkan ke lokasi kejadiaan.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati tujuh rumah kelas C terbakar dan api dikawal pada jam 6.43 pagi.

myMetro 30 November 2015






0 comments:

Post a Comment