November 3, 2015

Kanak-kanak OKU alami masalah usus


Roselaini (duduk) sentiasa berada di sisi Yusof bagi memastikan keselesaan anak istimewanya

KUALA TERENGGANU – “Dia adalah amanah Allah SWT kepada saya, walau susah macam mana sekalipun saya sanggup lakukan apa sahaja asalkan Yusof sihat,” luah seorang ibu tunggal muda, Roselaini Yusoff, 27.

Dia yang memiliki seorang anak OKU (fizikal), Muhammad Yusoff Amir Syafarudin, 4, berkata, anaknya itu turut mengalami masalah usus sejak dua tahun lalu.

Roselaini atau lebih mesra disapa sebagai Yong berkata, keperluan anak istimewanya termasuk bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan berserta bantuan lampin pakai buang dan juga susu khas ditanggung sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Cumanya sekarang ini, saya memerlukan sebuah katil khas untuk keselesaan Yusof di rumah sewa kami di Kampung Bukit Sawa, Marang.

“Saya akan cuba sedaya upaya dapatkan katil untuk Yusof kerana selama ini dia hanya gunakan tilam biasa yang nipis,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Menceritakan saat anak tunggalnya itu mula menderita, dia berkata sejak hari kedua Yusof dilahirkan, dia mengalami sawan teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di HSNZ dan sekali lagi pada usia setahun dua bulan, dia disahkan mengalami penyakit saraf sehingga bergelar kanak-kanak OKU.

“Sejak itu Yusof tidak lagi dapat bergerak kerana tangan dan kakinya menjadi semakin membengkok disebabkan mengalami masalah saraf,” katanya.

Penderitaan Yusof tidak berhenti di situ sahaja malah ketika berusia dua tahun enam bulan pula, dia disahkan mengalami masalah usus ekoran sering muntah selepas mengambil makanan.

“Sejak Yusof mengalami masalah usus, hospital sudah menjadi rumah pertamanya. Kalau hendak dikira Yusof kerap berada di hospital berbanding di rumah,” jelasnya.

Ekoran mengalami masalah usus itu, Yusof telah menjalani pembedahan usus sebanyak dua kali iaitu pada Mei 2013 dan terakhir pada Jun tahun lalu.

Yusof kini terpaksa menggunakan wayar yang dilekatkan pada ususnya secara terus untuk memberinya susu.

“Makan minum untuk saya, saya tak kisah sangat lagipun saya tak bekerja, duit Yusof itulah saya terpaksa jimat, sewa rumah pun selalu tertunggak,” luahnya.

Biarpun sedar dia memiliki anak istimewa, namun tidak sesekali menganggap Yusof sebagai beban malah sering melayaninya seperti kanak-kanak lain terutama membuat lawak dan sebagainya untuk menghiburkan hati mereka berdua.

“Saya anggap dia macam kanak-kanak normal lain walaupun dia tak boleh bercakap kecuali beberapa perkataan seperti ‘ma’ dan ‘aduh’…tetapi senyumannya selalu menjadi pengubat hati saya. Saya selalu bergurau dengannya dan dia memang seorang kanak-kanak yang periang dan suka senyum,” cerita Yong.

Kepada sesiapa yang bersimpati dan ingin menolong keluarga ini boleh terus menyumbang ke akaun BSN milik ibunya, Roselaini Yusoff 11115-29-000144235.

Sinar Harian 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment