November 25, 2015

‘Kami nak sekolah tapi miskin’


Yusri (kiri) bersama lapan anaknya.

KOTA BHARU - Bukan tidak mahu bersekolah, namun akibat kesempitan hidup, enam daripada lapan beradik terpaksa mengorbankan zaman persekolahannya sejak usia sembilan tahun.

Mohd Aiman, 16, Mohd Azwa, 15, Mohd Adham, 14, Mohd Azrul, 12, Mohd Zulhilmi, 10, kini sudah meninggalkan alam persekolahan sebaik mahu melangkah ke sekolah menengah, malah Mohd Zulhilmi pula hanya bersekolah hingga darjah tiga sahaja.

Dua masih meneruskan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Perol iaitu Mohd Irfan, 8 dan Mohd Akram, 7, manakala yang bongsu, Nor Amirah Atikah, 4, pula dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) setelah menghadapi sindrom down.

Derita mengalami kesusahan hidup, bapa tunggal kepada lapan beradik tersebut, Yusri Ab Ghani, 40, yang mencari pendapatan sebagai buruh terpaksa menanggung beban menjaga anak setelah berpisah dengan bekas isteri, Rosnani Abdullah, 43.

“Sebelum ini, mereka mahu bersekolah, tetapi akibat tiada wang dan mengalami kemiskinan, akhirnya mereka tidak ke sekolah, tetapi jika diberi peluang dalam tenaga mahir, mereka mahu belajar.

“Yang berhenti dari sekolah rendah juga masih pasang impian mahu ke sekolah seperti rakan sebaya lain, tetapi jika ada orang tanggung, saya percaya mereka akan ke sekolah dan belajar. Sekarang masalah wang dan tiada pakaian seragam,” katanya

“Duit seharian sekadar cukup makan, kadang-kadang saya pernah berpuasa kerana tidak ada wang untuk makan, tetapi untuk anak-anak saya ikhtiarkan juga supaya mereka dapat makan,” katanya semasa Program Tanggung jawab Sosial Korporat (CSR) Sinar Harian di Kampung Biah, Jalan Perol, Ketereh, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf,  Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Sinar Harian Cawangan Kelantan, Surena Mohd Noor.

Yusri berkata, dua daripada anaknya yang remaja bekerja sebagai buruh sepertinya dan mahu jika ada pihak membantunya memberikan pengajian kemahiran dalam membantu masa depan kedua-dua mereka.

“Yang kecil ada juga saya hantar ke sekolah pondok, tetapi sebab tidak berminat, mereka tidak mahu duduk di situ, jadi terpaksalah mereka tinggal di rumah dan dijaga secara bergilir-gilir dengan bekas isteri yang tinggal di rumah lain berdekatan rumah ini.

“Anak yang kecil ini, Atikah pula mengalami sindrom down dan saya tidak pernah mendapatkan kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebab tidak tahu cara untuk memohon,” katanya yang menerima bantuan persekolahan anak di bawah JKM RM300 sebulan.

Sinar Harian 24 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment