November 25, 2015

Juruukur dihanyut arus sungai

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas sekitar Sungai Sungkai di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman.

Sungkai: Seorang juruukur sungai dikhuatiri lemas apabila dipercayai dihanyutkan arus deras ketika bertugas menyukat keluasan Sungai Sungkai di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, mangsa Muhamad Syafiq Din Reduwan, 20, beralamat Taman Pelanggan, Pulau Keladi, Pekan, Pahang, dipercayai dihanyutkan arus sungai ketika mahu menyeberangi sungai berkenaan.

Menurut sumber, seorang lagi rakan mangsa yang bertugas berjaya menyeberangi sungai itu, namun mangsa yang berada di belakangnya dipercayai terjatuh lalu dihanyutkan arus deras.

“Rakan mangsa cuba memanggilnya, namun tidak disahut sebelum seorang pemandu jentolak yang bertugas mengorek tanah di tebing sungai memaklumkan ternampak seorang lelaki terkapai-kapai di permukaan sungai sambil dibawa arus deras.

“Keadaan sungai semalam (kelmarin) memang deras dan kedalamannya boleh melepasi ketinggian seorang dewasa kerana hujan lebat yang berpanjangan sejak akhir-akhir ini,” kata sumber itu, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Pegawai Bomba Kanan 1 Azlan Mahayidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.09 tengah hari lalu bergegas ke tempat kejadian kira-kira 20 minit sebelum melakukan gerakan mencari mangsa di tepi sungai.

“Kami teruskan operasi mencari mangsa pada jam 3.45 petang dengan cara mengesan melalui permukaan sungai dengan menggunakan bot dan dibantu pasukan Unit Multi Skill Team (MUST) serta unit skuba yang turun ke sungai mengesan mangsa di dasar sungai.

“Operasi mencari dan menyelamat tetap diteruskan tanpa henti (24 jam) dengan mengganti-gantikan anggota. Sehingga jam 4 petang (semalam), masih tiada petanda mangsa dijumpai,” katanya.

Menurutnya, kedalaman maksimum sungai itu mencecah lebih tiga meter dan pencarian setakat ini melebihi satu kilometer selepas mengesyaki mangsa sudah hanyut jauh.

“Berdasarkan tinjauan sungai yang mengalir deras di bahagian dasar, mangsa dipercayai sudah dibawa arus lebih dari kawasan pencarian dan mungkin operasi menambah jarak mencari mangsa jauh ke bawah.

“Bagaimanapun, operasi bergantung pada keadaan sungai dan cuaca. Sekiranya hujan, operasi mencari dan menyelamat semakin sukar,” katanya.

myMetro 25 November 2015


Juruukur jatuh sungai ditemui lemas

MAYAT mangsa ditemui pasukan penyelamat. FOTO Asrizal Aris

Sungkai : Juruukur yang terjatuh dan hanyut ke dalam di Sungai Sungkai, berhampiran Kampung Rahmat Changkat Sulaiman, kelmarin, ditemui lemas pasukan penyelamat di permukaan sungai berdekatan Jambatan Risda, Sungkai di sini, 11.05 pagi tadi.

Dalam kejadian 11.45 pagi kelmarin, mangsa, Muhamad Syafiq Din Reduwan, 20, lemas selepas dihanyut arus deras ketika mangsa sedang menyeberangi sungai untuk menjalankan tugas menyukat sungai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd Razali Abdullah berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus.

"Mayat mangsa yang sudah kembung selepas lebih 24 jam di dalam air ditemui berpakaian lengkap oleh pasukan penyelamat ketika membuat rondaan operasi mencari sepanjang Sungai Sungkai.

"Mayat mangsa, dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat," katanya.

myMetro 25 November 2015




0 comments:

Post a Comment