November 9, 2015

Jurutera maut kereta terbabas

KERETA dipandu mangsa terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Foto Rosli Ilham

Chukai: Jurutera syarikat swasta maut apabila kereta dipandunya terbabas di Kilometer 252.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Perasing, Jabor, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam, Muhammad Faizol Mohammad, 26, yang bekerja di syarikat Ethylene Kerteh dikatakan dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke kediamannya di Kemasek, di sini.

Kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya sebelum merempuh tembok konkrit jambatan Sungai Perasing.

Rempuhan kuat terbabit menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 8 November 2015


Pengorbanan suami...Pengorbanan suami...

Chukai: Seorang jurutera syarikat swasta sempat memuat naik catatan di akaun Instagram mengenai pengorbanannya berulang-alik kerana tinggal berjauhan dengan isteri sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 252.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Perasing, semalam.

‘Inilah pengorbananku berulang-alik dan tinggal berjauhan dengan isteri’ menjadi catatan terakhir Muhammad Faizol Mohamad, 26, jurutera Ethylene Engineering di Kerteh yang maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas jam 10.45 malam.

Rakan mangsa, Hafifi Hasnan, 26, berkata, Muhammad Faizol sempat memuat naik beberapa gambar ketika dia dalam perjalanan dan memaklumkan hampir sampai ke rumah sewanya.

“Saya dapat lihat akaun Instagram miliknya dan arwah sempat muat naik gambar papan tanda Tol Jabor dan memaklumkan dia hampir sampai dan mencoretkan catatan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia kemudiannya terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan serumah Allahyarham jam 12 tengah malam yang memaklumkan Muhammad Faizol terbabit kemalangan.

“Arwah sudah tiga tahun bekerja sebagai jurutera di syarikat kami dan setiap minggu akan pulang ke Seremban bertemu isterinya.

“Arwah seorang yang komited dalam pekerjaan dan disenangi rakan-rakan. Kehilangannya amat kami rasai,” katanya.

Kemalangan itu dipercayai berlaku kerana keadaan jalan licin berikutan hujan sebelum keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh konkrit jambatan Sungai Perasing.

Rempuhan yang kuat itu menyebabkan keretanya terbalik dan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kemasik selepas bercuti dan bertemu isterinya di Seremban, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 9 November 2015


Pesanan akhir suami sebelum dijemput selamanya

Lagi korban LTP2 dalam kemalangan jam 10.45 malam tadi.

KEMAMAN - Seorang jurutera yang baharu enam bulan berkahwin sempat mengemaskini status Instagram yang menyentuh hati sebelum maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) malam tadi.

Mangsa, Muhammad Faizol Mohammad, 26, terbunuh selepas Perodua Myvi dipandunya terbabas dan melanggar tembok kepala jambatan sebelum kenderaan itu terbalik.

Nahas berkenaan berlaku kira-kira jam 10.45 malam di Kilometer 252.1 di Jabor, dekat sini, ketika mangsa yang bekerja di syarikat minyak dan gas, Athlene Kerteh dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu.

Beberapa minit sebelum kemalangan, mangsa mengemaskini statusnya ketika berada di Plaza Tol Jabor dan kata-kata terakhirnya seolah-olah menggambarkan mangsa dapat merasakan ajalnya sudah tiba.

"Demi cinta yang suci, ku rela korbankan kepentingan diri, demi sinar bahagia, ku dambakan diri padaNya Yang Esa...," itu antara catatan terakhir Allahyarham.

Lebih memilukan, Allahyarham turut berpesan kepada isterinya agar menjaga diri dan mendoakan isterinya agar sentiasa dilindungi ALLAH SWT.

"Jaga diri, ALLAH akan sentiasa bersamamu."

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Kemalangan terbaharu berkenaan menjadikan angka kematian di LPT2 terus meningkat.

Sinar Harian 8 November 2015

0 comments:

Post a Comment