November 30, 2015

Jururawat terkedu klinik desa hangus

RAHAYU Abu Hassan memeriksa fail yang diselamatkan selepas klinik desa terbakar.

Sungai Petani Kepulangan seorang jururawat daripada tugas lawatan dari rumah ke rumah menerima kejutan apabila melihat api marak dalam kebakaran yang memusnahkan Klinik Desa Kampung Pulau Sayak, Pantai Merdeka, dekat sini, semalam.

Kebakaran jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan keseluruhan pusat kesihatan kecil yang memberi perkhidmatan kepada lebih 2,000 penduduk membabitkan lima kampung berhampiran hangus sama sekali.

Rusnita Abd Rahman, 39, berkata, sebaik selesai menjalankan tugas di luar, dia pulang semula ke klinik, tetapi terkejut apabila melihat asap tebal keluar dari bilik pemeriksaan sebaik tiba di pagar lalu bergegas membuka pintu premis terbabit.

Menurutnya, dia melihat api pada alat penghawa dingin yang mula marak ke bilik bersebelahan lalu bergegas berlari ke arah stesen minyak berhampiran bagi meminta bantuan serta menelefon rakannya supaya menghubungi pihak bomba.

“Saya bersama beberapa penduduk kemudian berlari semula ke klinik bagi menyelamat barangan penting, tetapi hanya sempat membawa keluar sebahagian kecil fail sebelum api mula menyambar sebahagian besar klinik.

“Namun kesemua fail rawatan ibu mengandung, kanak-kanak dan bayi serta pelbagai peralatan klinik yang ada gagal diselamatkan berikutan api marak dengan cepat menyebabkan terpaksa keluar untuk menyelamatkan diri.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat sahaja api memusnahkan keseluruhan klinik terbabit,” katanya memaklumkan bertugas seorang diri, manakala rakannya sedang bercuti.

Penduduk Zaharah Saad, 49, berkata dia terkejut melihat jururawat berkenaan berlari ke arah stesen minyak miliknya dalam keadaan tergesa-gesa seolah-olah ada sesuatu berlaku.

“Ketika itu saya lihat dia (Rusnita) kelihatan begitu panik lalu mendapatkannya dan bertanya apa berlaku. Rusnita kemudian memberitahu klinik desa terbakar menyebabkan saya segera berlari ke rumah bagi memaklumkan kepada suami dan anak untuk membantu menyelamatkan barang, tetapi gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.44 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak sebelum dapat dikawal pada jam 1.14 tengah hari dan dipadam sepenuhnya lima minit kemudian. Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

myMetro 30 November 2015



0 comments:

Post a Comment