November 26, 2015

Jumpa akhirnya...

JUMATIAH bersama tiga anaknya.

Kuala Lumpur: Hasrat seorang ibu bertemu tiga anaknya yang dipaksa menjual sayur di Pasar Kunak, Sabah, oleh bapa mereka tercapai hasil bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Kisah tiga beradik berusia tujuh hingga 10 tahun itu yang turut dipercayai didera bapa dan ibunya tiri mendapat perhatian ramai sebaik didedahkan Harian Metro, Isnin lalu.

Menerusi bantuan PPIM, ibu kanak-kanak itu, Jumatiah Juhad, 32, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di ibu negara menerima bantuan kewangan untuk kembali ke Sabah bagi mengambil anaknya.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Mohd Nadzim Johan berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan tiga beradik berkenaan yang tidak diberikan pendidikan selain dipaksa menjual sayur.

Menurutnya, PPIM beranggapan wujud unsur penganiayaan dan laporan Harian Metro berhubung isu itu mendorong PPIM membantu mereka.

“Pihak PPIM akan turut membantu Jumatiah memohon bantuan zakat sementara dalam proses menyelamatkan anaknya.

“Ini kes pertama membabitkan perhambaan kanak-kanak oleh bapa sendiri yang dikendalikan oleh PPIM,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro 26 November 2015

0 comments:

Post a Comment