November 14, 2015

JKM cari waris bayi kembar

Bayi perempuan kembar yang ditinggalkan di HDS

SEGAMAT – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kandung atau waris kepada bayi perempuan kembar yang ditinggalkan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Pegawai JKM Segamat, Mohd Azizul Ibrahim berkata, bayi tersebut yang baru berumur 15 hari itu ditinggalkan di HDS pada 2 November yang lalu dan dijumpai oleh kakitangan hospital yang bertugas.

“Turut ditemui pada kedua-dua bayi perempuan tersebut adalah buku kelahiran sahaja manakala dokumen-dokumen lain seperti surat beranak juga tiada.

“Kini bayi terbabit ditempatkan sementara di institusi JKM melalui perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibuat pada 12 November lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sehingga kini juga masih belum ada pihak atau waris mahupun ibu kandung bayi berkenaan tampil untuk menuntutnya.

Katanya lagi, pihaknya memohon kepada waris atau sesiapa yang mengenali ibu kandung bayi berkenaan untuk tampil dan menuntut bayi terbabit.

“Ia demi kebaikan dan masa depan bayi berkenaan serta bagi memastikan penempatannya lebih terjamin.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Segamat di talian 07-9311331 atau 07-9256411  atau datang terus ke pejabat kami,” katanya.

Sinar Harian 13 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment