November 18, 2015

Jawi buru ‘Ustaz Kasanova’ kahwini lapan wanita

Paimuzi menunjukkan gambar ‘Ustaz Kasanova’ yang kini diburu oleh Jawi atas kesalahan mengahwini lapan wanita tanpa mematuhi prosedur hukum syarak pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang digelar ‘Ustaz Kasanova’ kerana mempunyai lapan isteri kini diburu pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (Jawi) selepas gagal mematuhi proses jaminan Bahagian Penguatkuasaan Jawi dan hilang tanpa kesan.

Mohd. Razis Ismail, 33, dikehendaki pihak berkuasa agama itu selepas gagal hadir menyambung proses jaminannya pada 29 Oktober lalu atas kesalahan terlibat dalam pernikahan sindiket dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, siasatan mendapati suspek yang berasal dari Kuala Lumpur telah berkahwin dengan lapan wanita tanpa mengikut prosedur undang-undang dan hukum syarak serta tidak mendaftarkan perkahwinan dan penceraiannya.

“Suspek yang berperwatakan seperti ustaz dengan gelaran Arrozi Abd. Rahman dan Ibnu Ar Razi menggunakan status bujang untuk menipu mangsa untuk berkahwin dengan menyasarkan golongan penuntut wanita di institusi pengajian tinggi dan janda yang mempunyai pendapatan bagi menampung hidupnya,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Paimuzi, salah seorang wanita yang dipercayai mangsa suspek telah ditahan dan dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan lima sebatan syariah atas kesalahan persetubuhan luar nikah.

Katanya, orang ramai diharap dapat membantu menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek dengan menghubungi pegawai penyiasat, Farah Wahida Zulkiflee di talian 011-32961821 atau talian bebas 1-800-88-1771.

Kosmo 18 Nov 2015


'Ustaz Kasanova' mengaku bersalah

Kuala Lumpur: Lelaki yang digelar ‘Ustaz Kasanova’ mengaku bersalah masing-masing di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini terhadap enam pertuduhan termasuk melakukan persetubuhan luar nikah, percubaan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.

Mohd Razis Ismail, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz dan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman.

Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar nikah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Manakala bagi pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah, lelaki itu didakwa masing-masing mengikut Seksyen 133 dan Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

myMetro 29 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment