November 30, 2015

Isyarat lampu pemandu lain sedarkan tayar terbakar

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran membabitkan sebuah lori membawa muatan telur di Kilometer 230.6 Lebuhraya Utara Selatan, semalam.

REMBAU - Isyarat lampu daripada pengguna jalan raya yang berada di belakang sebuah lori berjaya menyedarkan tiga lelaki berusia 22 hingga 43 tahun, bahagian tayar belakang lori mereka naiki terbakar di Kilometer 230.6, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.59 pagi itu, pemandu lori segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan semua mereka keluar daripada lori yang terbakar.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Fuad Majid, sepasukan lapan anggota bomba segera ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 6.25 pagi bagi memadamkan kebakaran.

“Ketika tiba di lokasi, api sedang marak membakar lori 16 tan yang membawa muatan telur sebanyak 7,000 palet. Kami mengambil masa selama 10 minit bagi mengawal kebakaran dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.16 pagi.

“Dalam operasi ini, dua jentera dikejarkan ke lokasi bagi memastikan sumber air mencukupi untuk menjalankan kerja memadamkan kebakaran di lebuh raya,” katanya kepada  Sinar Harian, di sini, semalam.

Fuad berkata, semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar daripada lori yang terbakar 100 peratus.

Sinar Harian 28 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment