November 29, 2015

Hezry hilang anak lelaki tunggal

KENANGAN Hezry memeluk anak lelaki tunggalnya, Allahyarham Mohamad Amir.

Pilunya hati kehilangan zuriat tersayang sukar diluah dengan perkataan sekalipun empunya diri petah berkata-kata.

Begitulah dirasai juruhebah KLfm, Hezry Mohd Hashim yang masih sugul di sebalik kematian anak sulung juga lelaki tunggal, Allahyarham Mohamad Amir.

Tanggal 18 November lalu pastinya terpahat sebagai hari lara buat keluarga juruhebah berasal dari Pulau Pinang ini apabila Amir yang mesra dipanggil ‘nana’ oleh tiga adik beradik perempuannya meninggal dunia apabila motor ditunggangnya dirempuh kereta di Puchong.

Lebih membuatkan Hezry sebak apabila mengenang­kan tiga minggu sebelum kejadian, Amir yang berulang dari hostel majikan­nya di Putrajaya menghantar WhatsApp pada ibunya mengatakan dia rindukan lauk ayam kegemarannya yang dimasak ibunya.

“Bila dia sudah tiada baru kami terfikir Amir ada hantar WhatsApp mengenai lauk kegemarannya, tetapi arwah tidak sempat merasainya.

“Arwah pula bukan jenis cerewet dan memang komited pada kerja. Aidiladha lalu arwah bekerja, balik rumah terus dia tidur kepenatan,” katanya.

Menurut Hezry, ketika Amir kecil sering dia membawa anaknya itu ke Angkasapuri menemaninya bertugas di konti.

“Dia mudah mesra dengan orang dan hormat orang tua. Dalam kalangan rakan-rakannya, Amir yang belajar di IKBN, Peretak, Kuala Kubu Bharu, sering menjadi penglipur lara rakan-rakannya. Malah kalangan juruhebah KLfm turut terasa kehilangan Amir,” katanya.

Bagi pendengar Lembah Klang, Hezry dikenali melalui segmen Nadi Kota KL, setiap Isnin hingga Khamis, selain pernah mengacara program televisyen Bual Bicara Santai Bersama Hezry di Menara KL, Hiburan & Seni serta slot Berita Perdana TV1.

Sekalipun sering membawa Amir ke konti serta pelbagai majlis yang Hezry mengacara, anaknya itu tidak berminat menjadi juruhebah.

“Arwah lebih berminat ceburi bisnes berkaitan pemakanan. Arwah ada membayangkan untuk berkahwin pada usia 25 tahun tetapi tidak ‘declare’ siapa teman istimewanya itu. Cuma ada yang maklumkan pada isteri saya arwah ada beri bunga kepada gadis itu.

“Gadis itu bertanya mengapa beri bunga, jawab arwah jika dia tiada maka bunga itulah sebagai pengganti diri,” katanya.

Berikutan tragedi yang menimpa keluarganya, Hezry mengambil cuti dua minggu untuk menenangkan isterinya.

“Isteri saya belum pulih sepenuhnya, sekitar 30 peratus saja dia OK. Sebagai ibu, memang dia begitu terasa anak lelaki tunggal yang dijaga selama 22 tahun sudah tiada. Namun sebagai orang Islam, kami reda cuma kami perlukan masa untuk kembali seperti biasa,” katanya.

myMetro 29 November 2015

0 comments:

Post a Comment