November 26, 2015

Hanya tinggal wang RM30

KEADAAN kediaman disewa tujuh beradik yang ditinggalkan ibu bapa di Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang, Johor Bahru.

Johor Bahru: “Saya dan adik beradik makan mi segera dan telur goreng sebagai menu harian memandangkan ayah hanya tinggalkan kami dengan wang saku RM30 saja,” kata Nurul Jannah Mansor, 18.

Menurutnya, dia memikul tanggungjawab menyara enam adiknya berusia empat bulan hingga 17 tahun selepas bapanya ghaib sejak sebulan lalu bagi membawa pulang ibunya yang ditahan pihak berkuasa atas kesalahan tinggal lebih masa.

Katanya, wang saku terhad ditinggalkan bapanya menimbulkan kesulitan kepadanya menyediakan menu harian adik beradiknya yang masih kecil hingga menagih ihsan keluarga terdekat akibat terputus bekalan makanan.

“Memang kehidupan kami tujuh beradik susah untuk tempoh sebulan ini terutama sejak ayah, Mansor Abdul Malik, 45, ke Batam, Indonesia bagi membawa pulang ibu, Siti Aminah Rehan, 42, yang dihantar pulang ke negara jiran itu kerana tinggal lebih masa di sini.

“Ayah yang bekerja sebagai tukang masak dan berstatus penduduk tetap, berjanji membawa pulang ibu dan menguruskan dokumen perjalanan, namun kelibatnya tidak muncul sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Kampung Plentong Baru, di sini, semalam.

myMetro 26 November 2015



0 comments:

Post a Comment