November 12, 2015

'Haikal wira kami'


MOHD Firdaus menunjukkan dinding dapur yang hangus dalam kejadian di Kampung Paya Lebar, Batu Anam, Segamat. Gambar kecil, kabel elektrik yang hangus dipercayai punca berlakunya litar pintas.

Segamat: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjadi wira apabila bukan saja pantas menghubungi balai bomba, malah bertindak berani memadamkan api, sekali gus menyelamatkan rumah bapa saudaranya yang terbakar di Kampung Paya Lebar, Batu Anam, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, Mohd Haikal Zulkarnain pantas mengambil telefon bimbit ibunya dan menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah, di sini, di talian 07-9314444 selepas menyedari rumah bapa saudaranya, Mohd Jefry Tumin, 38, terbakar.

Ibunya, Rafeah Tumin, 36, berkata, ketika kejadian anaknya bermain di depan rumah sebelum terhidu bau hangit dan melihat kepulan asap hitam keluar dari dapur rumah abangnya yang terletak 10 meter dari rumahnya.

Katanya, selepas Mohd Haikal memberitahunya bahawa rumah abangnya terbakar, keadaan menjadi kelam-kabut, tetapi anak bongsu daripada tiga beradik itu tenang mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi bomba.

“Selepas menghubungi bomba, Mohd Haikal berlari keluar untuk membantu abangnya, Mohd Firdaus, 15, yang cuba memadamkan api menggunakan air daripada paip menggunakan hos getah sementara menunggu ketibaan bomba.

myMetro 12 November 2015



0 comments:

Post a Comment