November 12, 2015

Geng curi pisang akhirnya tumpas

Tangkak: Kehilangan pisang yang banyak di daerah ini terjawab apabila polis menahan dua lelaki bersama pisang yang dicuri mereka awal pagi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata suspek berumur 34 dan 38 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta pada jam 4 pagi di Jalan Taman Serom Utama, di sini.

"Kedua-dua mereka ditahan dalam sebuah kereta dipenuhi 15 tandan pisang jenis berangan dan ketika ditanya, memberikan jawapan meragukan dari mana hasil pisang itu diperolehi mereka," katanya di Balai Polis Sungai Mati di sini, hari ini.

Sepanjang Januari hingga 9 November lalu, 23 kes kecurian pisang berlaku di daerah ini membabitkan kerugian lebih RM20,000.

Mohd Salleh berkata kedua-dua suspek berasal dari Bukit Gambir di sini dan seorang suspek berusia 34 tahun, mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan jenayah) dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, lagi suspek berumur 38 tahun tiada rekod jenayah tetapi kedua-duanya disahkan positif dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menjumpai parang dan pisau yang dipercayai digunakan untuk mencuri pisang," katanya.

Menurutnya, mereka reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya. - Bernama

myMetro 11 November 2015

0 comments:

Post a Comment