November 3, 2015

Gara-gara berebut anak, isteri tergamak langgar suami

SIBU: Seorang isteri tergamak melanggar suaminya dengan kereta gara-gara berebut anak di Jalan Olive, di sini malam kelmarin.

Akibat perlanggaran itu, suami yang berusia 32 tahun mengalami kecederaan patah kedua-dua tangan dan ditemui tidak sedarkan diri di atas jalan.

Pasangan itu sedang dalam proses perceraian.

Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam apabila suspek berusia 28 tahun pergi ke rumah mangsa mengambil anaknya.

Ketika di rumah mangsa, dikatakan suspek dan mangsa berselisihan faham.

Suspek berjaya membawa lari anaknya sambil cuba dihalang mangsa.

Marah perbuatannya dihalang, suspek nekad melanggar mangsa dengan kereta dan terus memecut keretanya melarikan diri sambil meninggalkan mangsa terbaring di jalan.

Orang awam yang menjumpai mangsa terbaring kemudian menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, suspek dipercayai menyerah diri di balai polis di sini sekitar jam 11.30 malam dan ditangkap bagi siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan.

Sehingga berita ini ditulis semalam punca sebenar kejadian masih belum dipastikan dan kes masih dalam siasatan.

Utusan Borneo 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment