November 2, 2015

Enggan sekolah kena ejek

TIGA anak Norizan yang baru selesai mandi sungai di Kampung Ulu, Kuala Kedah iaitu Shahbani Hamdan, 10, Nurul Nabila, 8 dan Shahrul Nizam, 7.

Alor Setar: “Saya tidak tahu di mana lagi ingin bergantung harap meminta bekalan air bersih untuk kami sekeluarga. Ketika ini nasib baiklah ada jiran yang sudi membantu,” kata ibu tunggal Norizan Hamid Hamzah, yang dihimpit kemiskinan.

Norizan, 38, dari Lorong 8, Kampung Ulu, Kuala Kedah, dekat sini, berkata, dia terpaksa meminta bekalan air bersih daripada jiran untuk digunakan bagi memasak dan minum kerana tidak mampu memasang meter paip di rumahnya.

“Saya hampir putus asa apabila setiap usaha saya semuanya tidak berhasil tambahan saya terpaksa berhenti kerja di kedai makan kerana pengusahanya tidak mampu membayar gaji akibat tiada pelanggan.

“Apa yang paling saya kesalkan, anak-anak saya kini tidak mahu bersekolah kerana sering diejek kanak-kanak lain kerana kami miskin,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara enam hingga 10 tahun.

Norizan berkata, dia sering menghantar anaknya ke sekolah kerana yakin dengan pendidikan akan dapat mengubah nasib mereka sekeluarga.

“Saya tidak mahu anak-anak terus-menerus mewarisi kemiskinan kami anak beranak.

“Sebelum ini, kehidupan kami adalah normal namun selepas kematian suami, saya seakan-akan hilang tempat bergantung,” katanya.

Menurutnya, dia hanya bergantung dengan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, Pegawai JKM Kota Setar Syahrul Nasir Mat Rais berkata, pihaknya sedang membuat penelitian kawasan tempat tinggal Norizan, di samping sesi kaunseling untuk memberi semangat kepadanya.

“Pihak JKM bukan saja memberikan bantuan kewangan tetapi dalam masa yang sama turut membantu membuat sesi kaunseling kepada si ibu dan anak-anak untuk bersedia membuat perubahan,” katanya.

myMetro 1 November 2015

0 comments:

Post a Comment