November 9, 2015

Empat sekeluarga maut bertembung lori


MARAN - Empat sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan anak kelapa sawit di Kilometer 44, Jalan Lama Maran berhampiran pekan Sungai Jerik di sini petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4.50 petang itu, pemandu kereta, Sukri Sampol, 30; isterinya, Mas Hanum Mustafa Kamal, anaknya, Muhammad Aqil Danish Sukri, 3, dan ibu mentua mangsa, Nor Asiah Abdul Aziz, 53, maut ditempat kejadian.

Mangsa yang cedera ialah adik ipar pemandu, Nurul Hidayah Mustapa kamal, 25, manakala pemandu lori mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Raub menuju ke Kuantan menaiki kereta jenis Proton Saga.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

"Kejadian tersebut menyebabkan keempat-empat mangsa meninggal dunia ditempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mat Rizal, kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di hospital yang sama.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dilakukan.

Ujarnya, siasatan awal mendapati tempat kejadian merupakan jalan selekoh tajam ke kiri dan semasa kejadian cuaca adalah baik.

Kosmo 9 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment