November 21, 2015

Empat pelajar perempuan ditahan

Petikan daripada rakaman video yang tersebar

Lundu: Empat pelajar perempuan yang video mereka membuli rakan di sekolah menengah di Sematan, di sini, pada 26 Oktober lalu, ‘viral’ di laman sosial, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Wong Chee Keong berkata, keempat-empat pelajar berusia 16 tahun itu ditahan di rumah masing-masing bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya hanya menerima laporan daripada mangsa yang juga berusia 16 tahun pada Jumaat lalu sebelum identiti semua pelajar terbabit dikenal pasti.

"Polis turut merampas empat unit telefon bimbit milik pelajar terbabit dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

"Berdasarkan keterangan awal, mangsa mendakwa berlaku salah faham apabila dia menegur seorang daripada pelajar itu yang cuba memikat teman lelaki adik angkatnya,"katanya.

Katanya, semuanya masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Rakaman video memaparkan aksi ganas kes buli itu dipercayai dimuat naik seorang daripada empat pelajar itu di laman sosial dan menjadi viral di Facebook sejak semalam.

Dalam rakaman video berdurasi lebih dua minit itu, pelajar perempuan terbabit turut ditampar dan ditendang beberapa pelajar lain yang tidak berpuas hati terhadap mangsa.

myMetro 21 November 2015


Tampar, hentak



KES BULI: Rentetan kejadian buli tersebut yang viral di laman sosial.

Empat pelajar sekolah menengah di Sematan ditahan berhubung kes buli yang viral di laman sosial

LUNDU: Empat pelajar sebuah sekolah menengah di Sematan ditahan petang semalam untuk membantu siasatan berhubung kes buli selepas satu video yang memaparkan insiden tersebut tersebar di laman sosial.

Video berdurasi dua minit 52 saat itu yang dirakam menggunakan telefon bimbit menunjukkan aksi dua pelajar perempuan menampar seorang lagi pelajar perempuan sebelum menghentakkan kepalanya ke dinding.

Selain itu, seorang lagi pelajar perempuan dan pelajar lelaki juga dilihat mengejek mangsa yang selepas itu terjatuh ke lantai selepas rambutnya ditarik.

Difahamkan, video tersebut telah dimuat naik ke laman Facebook dan mendapat komen daripada netizen yang mencela perbuatan pelajar-pelajar berkenaan dan mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian dan seramai empat pelajar dari sekolah berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Laporan telah diterima dan kita sedang ambil tindakan untuk mengesahkan video tersebut.

“Buat masa ini, seramai empat pelajar yang disyaki terlibat telah ditahan dan kes disiasat sebagai rusuhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” kata Wong.

Menurut Wong lagi, kesemua pelajar yang ditahan serta mangsa didapati berusia 16 tahun iaitu pelajar tingkatan empat di sekolah berkenaan.

“Mangsa dan suspek masing-masing berusia 16 tahun,” katanya yang turut memberitahu pihaknya masih menyiasat punca serta bila kejadian tersebut berlaku.

Utusan Borneo 21 Nov 2015



Selisih faham mengenai teman lelaki punca buli

Empat suspek pelajar perempuan sekolah itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut

LUNDU: Siasatan awal polis terhadap kes buli di sebuah sekolah menengah di Samatan, dekat sini yang menjadi viral di laman sosial didapati berpunca daripada perselisihan faham mengenai teman lelaki.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong selepas keempat-empat suspek berusia 16 tahun yang ditahan petang Jumaat lepas disoal siasat.

Bagaimanapun, keempat- empat suspek yang kesemuanya merupakan pelajar perempuan di sekolah berkenaan ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham mengenai teman lelaki tetapi siasatan lanjut masih dijalankan dan keempat-empat suspek direman selama tiga hari untuk membantu siasatan,” kata Wong.

Tambah beliau kes tersebut disiasat sebagai rusuhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Polis selain itu memohon kepada masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang boleh mengganggu siasatan polis.

Keempat-empat pelajar terbabit ditahan selepas polis menerima laporan berhubung penyebaran satu video yang memaparkan insiden tersebut yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.

Video berdurasi dua minit 52 saat yang dirakam menggunakan telefon bimbit itu menunjukkan aksi dua pelajar perempuan menampar seorang lagi pelajar perempuan sebelum menghentak kepalanya ke dinding.

Sementara itu, warga maya melalui laman Facebook Utusan Borneo rata-rata mengutuk tindakan pelajar berkenaan yang dianggap tidak berperikemanusiaan serta memalukan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Tindakan tegas perlu diambil…hantar ke pusat pemulihan akhlak sebagai pengajaran kepada pelajar-pelajar lain,” komen Joehairi Median yang dipetik daripada laman Facebook Utusan Borneo.

Selain itu, terdapat juga warga maya yang memuji tindakan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu yang berjaya menangani kes tersebut dengan segera.

“Tahniah kepada pihak polis, semoga pelajar ini diberi pengajaran secukupnya…,” kata pemilik akaun Facebook Prishyella Richard.

Utusan Borneo 22 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment