November 12, 2015

Dua suspek kes bunuh Jalan Tekam dibaca pertuduhan

SIBU: Dua tertuduh kes bunuh di Jalan Tekam 31 Ogos lepas, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam bagi mendengar pertuduhan tentatif yang  dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua tertuduh yang dikenali sebagai Sylvester James, 21 tahun dan Azwan Chendang, 20 tahun.

Mengikut pertuduhan tentatif, kedua-dua mereka didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Edmund Antas Singka, 20 tahun bertempat di Lorong 6, Jalan Tekam antara 30 Ogos 2015, jam 9 malam hingga 31 Ogos, 2015, jam 6.45 pagi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Sylvester turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memecah masuk Bangunan Wa Shieng di Jalan Tekam pada 5 Mei, 2015, antara jam 7 malam hingga 6 Mei, 2015, jam 12.20 tengah malam.

Semasa melakukan kesalahan itu, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kematian Moh Kee Yen. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 460 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda, jika sabit dengan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 4 Disember ini bagi sebutan lanjut kes dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan bebas dengan ikat jamin.

Dalam pada itu, tujuh lagi tertuduh yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu sebelum ini akan menjadi saksi pihak pendakwaan.

Ketujuh-tujuh mereka berusia antara 14 tahun hingga 18 tahun, dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM5,000 dengan kedua-dua ibu bapa mereka sebagai penjamin.

Utusan Borneo 6 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment