November 28, 2015

Dua beradik tiri maut

DUA beradik tiri maut dalam kemalangan di Kampung Hutan Buloh Melor. FOTO ihsan pembaca

Kota Bharu: Dua beradik tiri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh kereta di Kampung Hutan Buloh Melor, di sini, 6 petang semalam.

Penunggang motosikal, Muhammad Ikhmal Hisyam Mat Zin, 13, dan adik tirinya, Muhammad Danieal Akmal Mohd Sakri, 12, maut di lokasi kejadian akibat cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa menunggang motosikal dari arah Melor ke Gunong, Bachok terbabas sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu lelaki dari arah bertentangan.

"Akibatnya, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan meninggal dunia.

"Mereka mengalami kecederaan parah di kepala kerana tidak memakai topi keledar," katanya di sini, hari ini.

myMetro 27 November 2015


Dua beradik maut motor rempuh kereta

KEADAAN kawasan kemalangan maut membabitkan dua remaja di Kampung Hutan Buloh Melor.

Kota Bharu: Perjalanan pulang dua beradik tiri menaiki motosikal berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kampung Hutan Buloh Melor, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 petang ketika Muhammad Ikhmal Hisyam Mat Zin, 13, yang menunggang motosikal dan adik tirinya, Muhammad Danieal Akmal Mohd Sakri, 12, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Melor.

Bagaimanapun, motosikal Honda EX5 dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah bertentangan.

Akibatnya, kedua-dua mangsa tercampak di jalan dan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mereka parah di kepala kerana tidak memakai topi keledar,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen mahupun topi keledar.

myMetro 28 November 2015



0 comments:

Post a Comment