November 25, 2015

Ditemui mati bersama tiga pisau di sisi

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat. - Foto NABIHAH KAMAL

Serdang: Seorang lelaki berusia 76 tahun ditemui mati separuh bogel bersama tiga pisau berhampirannya di Taman Serdang Jaya, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, pihak bomba menerima panggilan kecemasan dari jiran mangsa dan bergegas ke tempat kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, tujuh pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Serdang terpaksa memecahkan pintu rumah yang berkunci dengan bantuan polis sebelum menjumpai mangsa.

Menurutnya, anggota bomba yang memeriksa rumah berkenaan menemui seorang lelaki warga emas terbaring dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat itu.

"Jiran mangsa memanggil lelaki itu beberapa kali tetapi tiada jawapan lalu menghubungi bomba dan polis.

"Bagaimanapun, mangsa yang berusia 76 tahun disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, menurut sumber, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah itu mengalami kecederaan di perut.

"Tiga pisau pemotong sayur ditemui dalam bilik mangsa.

"Sebelum ini, lelaki itu pernah bekerja di sebuah pasar sebagai penjual sayur," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik di Hospital Serdang untuk bedah siasat.

myMetro 24 November 2015

0 comments:

Post a Comment