November 14, 2015

Dewan futsal jadi kediaman suami isteri mualaf

Ruang kecil dalam dewan futsal itu menjadi tempat berteduh keluarga mualaf ini.

KUANTAN - Akibat kesempitan hidup, sepasang suami isteri mualaf di sini terpaksa menjadikan ruang sempit di sebuah dewan futsal sebagai tempat berlindung.

Umar Abdullah, 48 bersama isteri dan dua orang anaknya terpaksa mendiami sudut terpencil di Dewan Futsal Taman Polo, Indera Mahkota sejak dua bulan lalu selepas tidak mampu menanggung sewa rumah kira-kira RM400 sebulan di Taman Tas, di sini.

Walaupun sedar kehidupan di ruang sempit itu tidak sesuai untuk dua orang anaknya yang masih kecil iaitu Firdaus, 5, dan Khatijah, 2, namun dia reda dengan kehidupan sekarang daripada dianggap suka meminta-minta.

Menurutnya, dia dan isteri, Aminah Abdullah, 38, memeluk agama Islam kira-kira empat tahun yang lalu dan menerima bantuan tahunan daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia sebanyak RM350 dan RM300 setiap seorang namun tidak cukup untuk menyediakan kehidupan yang lebih selesa untuk keluarganya.

“Pendapatan saya sebagai tukang urut tidak menentu hanya sekitar RM600 sebulan, ditambah dengan bebanan bil air dan elektrik selain wang susu anak menyebabkan saya tidak lagi mampu menyewa di rumah sebelum ini.

“Tambahan pula, saya hanya  bersekolah setakat sekolah rendah manakala isteri saya yang juga berasal dari sini tinggal jauh di kawasan ladang bersama keluarganya sebelum ini.

“Disebabkan tidak fasih berbahasa Melayu juga menyukarkan kami mencari pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Umar berkata, dia pernah mencuba untuk memohon bantuan daripada pusat zakat namun pelbagai alasan yang diberi menyebabkan dia tawar hati.

“Saya malu dan takut ada pihak yang beranggapan kami sekeluarga memeluk Islam hanya untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia  tetap menyimpan impian untuk melihat anak-anak hidup selesa dan saya amat berterima kasih sekiranya ada pihak yang sudi membantu kami mencari kediaman yang lebih baik.

Orang ramai yang berhasrat untuk membantu Umar boleh menghubungi Umar sendiri di talian 014-6085706.

Sinar Harian 10 Ogos 2015

0 comments:

Post a Comment