November 25, 2015

Derita Mohd Azin perlu perhatian


Mohd Azin yang memerlukan bantuan untuk menampung kos rawatan susulan masalah injap jantung bocor di IJN.

KOTA BHARU - "Saya tiada pilihan, terpaksa pinjam wang untuk ubat sakit anak." itu rintihan Nor Akmaniza Ishak, 26, yang mengakui kesempitan wang hingga terpaksa membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk menampung kos rawatan susulan anaknya yang menderita masalah jantung.

Nor Akmaniza berkata, anaknya, Mohd Azin Al-Muiz, 6, menderita sakit ketika berusia dua bulan terpaksa berulang alik ke hospital bersama suami, Mohd Rozaimi Zahari, 31, untuk rawatan susulan selepas menjalani pembedahan jantung dan injap sempit sempit sebelum ini.

“Memang agak sedih apabila mengetahui anak kami mengalami masalah itu dan sejak dari itu kami sentiasa berulang mendapatkan rawatannya di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Anak saya pada luarannya dilihat seperti kanak-kanak normal lain tetapi hakikatnya dia banyak menderita, dan selepas menjalani pembedahan bagi menutup lubang besar injap jantungnya yang ketika itu berusia 3 tahun namun kini mengikut laporan doktor, injap jantung anak saya pula bocor dan perlu rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perupok, Banggol Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini.

Terdahulu, Mohd Azin menerima  kunjungan Persatuan Warga Prihatin Kesukarelawan Malaysia (Primas) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyerahkan bantuan keperluan asas dan wang tunai.

Akmaniza, berkata, selain kesihatan Azin yang tidak menentu, anak bongsunya, Nur Aina Natasha, 9, juga memerlukan rawatan lanjut akibat menghadapi masalah pendengaran dan lebihan air dalam kepala.

“Saya sepatutnya membawa Azin untuk pemeriksaan perutnya itu ke IJN pada 25 November ini, namun terpaksa ditangguhkan kerana tidak mempunyai cukup perbelanjaan, begitu juga Nur Aina perlu dibawa ke hospital bagi pemeriksaan," katanya.

Ibu kepada empat anak berusia 9 bulan hingga 9 tahun itu berkata, dia terpaksa membuat pinjaman AIM setiap kali ke IJN kerana memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Sinar Harian 24 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment