November 25, 2015

Derita bayi sembilan bulan

Dang Chendana memangku Mohd Islam ketika menukar kapas pada lubang najis yang ditebuk, di rumahnya di Kampung Gunung Pulai. Gambar kanan: Lubang najis ditebuk berhampiran pinggang Islam.

PONTIAN - Ketika melihat kanak-kanak lain membesar normal, hati Dang Chendana Dewi Ahmad, 27, pula sayu melihat anaknya, Mohd Nur Islam Johari, sembilan bulan, terpaksa melalui kehidupan menyeksakan setiap hari.

Anak bongsu daripada dua beradik itu, tiada saluran dan lubang najis menyebabkan usus najis berhampiran pinggang terpaksa ditebuk.

Sehari selepas dilahirkan pada 6 Februari lalu, Mohd Islam sudah bertarung nyawa menjalani pembedahan menebuk usus najis di Hospital Sultanah Aminah (HSA)  Johor Bahru.

Dang Chendana berkata, pembedahan itu dilakukan bagi membolehkan anaknya itu membuang air besar menerusi usus najis berhampiran pinggangnya.

“Usus najis yang ditebuk itu dapat dilihat dengan jelas kerana ia berbentuk benjolan dan berwarna kemerahan.

“Kapas akan diletakkan di luar usus najis sebelum ditutup dengan lampin pakai buang yang menampung najis dan air kencing,” katanya.

Menurutnya, setiap kali selepas, Mohd Islam membuang air besar, dia perlu menukar kapas dan lampin  pakai buang anaknya itu.

Jelasnya, usus najis perlu dibersihkan setiap kali kapas ditukar kerana ia mudah dijangkiti kuman.

“Setiap kali kapas ditukar, Mohd Islam akan menangis kesakitan.

“Mohd Islam hanya makan bubur yang dicampurkan sayur dan minum susu khas. Dia hanya makan sikit sahaja,” katanya.

Dang Chendana berkata, Mohd Islam sudah menjalani dua kali pembedahan bagi menebuk lubang najis untuk membolehkan dia membuang air besar dengan selesa.

Pada 8 Oktober lalu, Mohd Islam menjalani pembedahan kedua bagi menebuk lubang najis.

“Disebabkan keadaan Mohd Islam yang lemah, dia telah beberapa kali ditahan di hospital,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gunung Pulai di sini.

Katanya lagi, mereka sekeluarga bergantung hidup kepada suaminya, Johari Mohd Wahid, 32, Yang bekerja sebagai anggota polis bantuan di sebuah ladang sawit di Kulaijaya dengan pendapatan bulanan RM900.

Bagaimanapun, pendapatan suaminya tidak mencukupi bagi menampung kos rawatan dan perubatan Mohd Islam yang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000  setiap bulan.

“Kami masih belum menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Baitulmal walaupun permohonan telah dibuat.

“Jika ada pun, sumbangan daripada orang ramai yang prihatin dengan nasib Mohd Islam. Wang sumbangan itu amat membantu terutama  dari segi kos rawatan hospital,” katanya.

Justeru, bagi yang ingin memberikan sumbangan boleh hubungi Dang Chendana di talian 019 7628034.

Sinar Harian 25 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment