November 26, 2015

Derita 6 tahun


MD Aris menyuapkan isterinya Faridah yang menghidap penyakit kanser ovari.

Gelang Patah: “Saya runsing memikirkan tahap kesihatan isteri yang semakin serius dan perlu mendapatkan sumber kewangan tambahan kerana pendapatan bulanan ketika ini tidak cukup untuk menyara keluarga,” kata suami pesakit kanser ovari tahap empat, Md Aris Rahim.

Md Aris, 45, yang bekerja sebagai kakitangan am di Pejabat Renjer Hutan, di sini berkata, isterinya, Faridah Babak, 37, disahkan menderita penyakit berkenaan sejak enam tahun lalu dan kini menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menurut Md Aris, keadaan isterinya itu menyebabkan dia mengambil alih tugas sebagai suri rumah seperti memasak dan menguruskan keperluan dua anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Afiq, 14, dan Muhammad Fikri Iskandar, 8.

Katanya, dia juga perlu menguruskan ibu mentuanya, Khatijah Hassan, 77, yang uzur dan tinggal bersama.

“Sebagai suami, saya reda dengan ketentuan ini cuma buntu memikirkan soal kewangan kerana perbelanjaan bulanan melebihi pendapatan RM1,000.

“Bukan tidak mahu mencari pendapatan tambahan, tetapi keadaan masa yang terhad membataskan keupayaan saya melaksanakan semua tugas dalam satu masa,” katanya berkongsi kisah hidupnya ketika ditemui di kediamannya di Kuarters Pekerja Pejabat Renjer Hutan, di sini.

Katanya, selain memenuhi tanggungjawab sebagai kakitangan kerajaan, dia juga perlu menguruskan dua anak, ibu mentua selepas pulang kerja.

Katanya, dia juga kerap mengambil cuti bagi menghantar isterinya itu mendapatkan rawatan kemoterapi di HSI tiga kali seminggu.

“Dengan pendapatan sekadar cukup makan, saya perlu membahagikannya untuk kegunaan isteri dan selebihnya perbelanjaan harian,” katanya.

Sementara itu Faridah yang dulu berkhidmat sebagai guru di Sekolah Agama Tiram Duku, di sini berkata, penyakit itu memaksanya mengambil cuti sakit dua tahun bermula April tahun lalu.

Menurut Faridah, dia sedih kerana tidak bekerja dan menguruskan keluarga namun berterima kasih kepada suaminya yang sudi mengambil alih tugasnya di rumah.

“Kini, penyakit itu merebak ke organ lain iaitu usus kecil, usus besar, paru-paru dan hati,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya kepada Md Aris Rahim menerusi akaun Maybank bernombor 101093207552 atau menghubunginya di talian 011-17511173.

myMetro  26 November 2015


0 comments:

Post a Comment