November 12, 2015

Curiga bunyi kaca pecah dalam bilik

KEADAAN bumbung dan rumah Ibrahim yang musnah.

Melaka: Perasaan curiga selepas terdengar bunyi kaca pecah menyelamatkan kanak-kanak perempuan daripada terperangkap di dalam rumah yang terbakar di Taman Terendak Permai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Nur Alia Diana Ibrahim, 11, yang tinggal seorang diri di rumah menonton siri animasi di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi kaca pecah dari bilik bacaan bapanya.

Menurutnya, dia memeriksa apa yang berlaku dan mendapati kepulan asap tebal keluar dari bilik bapanya serta melihat kelibat seorang lelaki berlari di sebalik tembok rumah.

“Saya mencapai kunci rumah sebelum berlari keluar. Akibat terlalu panik saya memanjat pagar utama dan ke kediaman rakan berhampiran untuk memaklumkan kejadian,” katanya.

Ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri kerana ibu bapanya keluar bekerja manakala dua abangnya mengikuti kuliah di sebuah kolej berhampiran.

Bapanya, Ibrahim Hamis, 58, berkata, dia bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu Pegawai Bomba Kanan II Shahrin Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.11 tengah hari dan sebuah jentera bersama empat anggota terus dikejarkan ke lokasi kejadian.

myMetro 12 November 2015


0 comments:

Post a Comment