November 25, 2015

Buntu kumpul wang

ABU Bakar (tengah) menyerahkan sumbangan kepada keluarga Azman.

Parit Buntar: “Sudah saya menghidap sakit lutut kronik, kini bayi lelaki pula menghidap penyakit alat kelamin sejak dilahirkan,” luahan bapa, Azman Saidin, 43.

Azman dan isterinya, Sosilawati Abdullah, 39, kini buntu mengumpul wang bagi menanggung kos rawatan penyakit anak bongsu mereka, Muhammad Latif, sembilan bulan, yang menderita penyakit alat kelamin, komplikasi jantung dan masalah penglihatan.

Penderitaan dialami Muhammad Latif ekoran pelbagai penyakit menyebabkan keadaan tubuhnya tidak membesar seperti bayi normal.

Demi masa depan anaknya, Azman berharap keadaan anaknya itu akan sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Azman berkata, dia kini menunggu tarikh anaknya menjalani pembedahan selepas Muhammad Latif dirujuk di Hospital Taiping, sejak awal tahun ini.

“Alat kelamin anak saya tidak normal kerana lubang kencingnya tidak berada di tempat yang sepatutnya. Bagaimanapun, dia berpeluang hidup normal jika pembedahan dilakukan,” kata bapa kepada sembilan orang anak ini.

Dia berkata, sejak dimaklumkan anaknya perlu menjalani pembedahan, dia mula khuatir berikutan kewangan tidak mencukupi untuk menampung kos itu.

“Saya sekeluarga memerlukan kos rawatan susulan berkenaan penyakit anak saya turut mempunyai kompilasi jantung dan masalah penglihatan. Mungkin kos yang tinggi, mana saya nak cari wang sebanyak itu,” katanya yang tinggal di kampung Parit Tanjung Piandang, di sini.

Tambah pula Azman terpaksa menanggung tujuh anak yang masih bersekolah dan secara tidak langsung memberi tekanan pada dirinya untuk menyara kehidupan keluarga.

Azman berkata, dia kini dalam tempoh bercuti sakit sejak empat bulan lalu dan memohon mendapatkan bantuan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), selepas disahkan tidak berupaya bekerja oleh pihak hospital.

“Kini, segala perbelanjaan rumah ditanggung anak sulung saya, Muhammad Izuan, 18, yang bekerja kilang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Abu Bakar Hussain turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan harian.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun bank Maybank Azman Saidin 107116558344 atau hubunginya di talian 014-7427436.

myMetro 25 November 2015

0 comments:

Post a Comment