November 25, 2015

'Bukan viral palsu'

 Ustaz Mazri Firdaus Mohd Ariffin

Tapah: “Bukan viral palsu, memang benar kami perlukan dana,” kata Ustaz Mazri Firdaus Mohd Ariffin, 45, pengasas Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) selepas mesej viral mengenai madrasah itu perlukan sumbangan tersebar di laman sosial Facebook (FB).

Mesej viral yang tersebar di aplikasi WhatsApp dan FB itu dipersoalkan pelbagai pihak sehingga ada yang menganggapnya sebagai palsu.

Kandungan mesej itu menyatakan bahawa MTFAW yang terletak di Batu 6, Jalan Pahang, memerlukan sumbangan RM350,000 bagi melangsaikan hutang jual beli tanah madrasah.

Ustaz Mazri Firdaus berkata, dia mengakui pihaknya memerlukan sumbangan sebanyak itu, namun menafikan mereka menyebarkan mesej berkenaan. Sebaliknya, ia tindakan penderma yang simpati dengan masalah dihadapi mereka.

“Saya sendiri terkejut apabila ramai pihak termasuk polis datang ke madrasah untuk mengesahkan mesej itu. Apabila dimaklumkan oleh penderma mengenai mesej itu, baru saya faham ada individu yang cuba membantu.

“Memang benar, kami memerlukan dana sebanyak itu untuk melangsaikan baki hutang tanah 4.5 hektar dan sekiranya kami gagal membayarnya sehingga hujung tahun ini, kami terpaksa keluar dari sini,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Ustaz Mazri Firdaus, MTFAW ditubuhkan lima tahun lalu dan kerap berpindah randah sehinggalah madrasah baru berkenaan dibina Disember tahun lalu.

Ketika ini, ada tiga tenaga pengajar dan 45 pelajar terdiri daripada anak yatim piatu, anak fakir miskin dan anak mualaf.

“Sebelum ini, beberapa pihak menumpangkan kami di beberapa lokasi tertentu sebelum berpindah apabila tempohnya berakhir.

“Lokasi ini tapak madrasah pertama milik kami selepas ada individu yang sedia menjualnya pada harga RM1.4 juta. Bagaimanapun, ada masalah tidak dapat dielakkan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Sumbangan serta bantuan boleh dihulurkan melalui akaun Maybank Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi di 558060504394 atau menghubungi Ustaz Mazri Firdaus di talian 014-2528085.

myMetro 24 November 2015


Bantulah anak-anak syurga ini...

Marzi Firdaus menunjukkan lot tanah yang berwarna perlu dibayar sebanyak RM350,000 kepada pemilik tanah sebelum bulan Disember ini.

Marzi Firdaus mengetuai bacaan Yassin bersama-sama pelajar MTFAW setiap petang yang juga rutin harian mereka.

Marzi Firdaus bersama isterinya, Sarimah, dan tenaga pengajar serta pelajar MTFAW.

MELANGKAH memasuki kawasan Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) di Jalan Cameron Highland - Tapah, hati terasa damai.

Suara anak-anak kecil mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran yang menyapa telinga terus menusuk menikam kalbu.

Ya, madrasah inilah yang menjadi viral di dalam aplikasi Whatapps sejak kelmarin.

Awalnya tersebar viral yang menyatakan madrasah ini perlukan bantuan kewangan. Tak lama kemudian menyusul pula viral seperti membalas menyatakan itu satu penipuan dan seolah menuduh ada pihak ambil kesempatan untuk dapatkan wang secara mudah.

Tiba-tiba timbul rasa bimbang. Bukan kerana dua viral yang bercanggah, tapi khuatir, kehadiran saya mengganggu tumpuan anak-anak kecil di sini yang sibuk mahu menghafaz kalam suci ALLAH.

Namun kehadiran seorang wanita berjubah hijau, ramah menyambut kehadiran kami membuatkan hati sedikit lega.

“Maaf cik, ustaz sibuk sikit. Dari pagi sampai petang, tetamu tidak putus-putus datang. Ini pun masih ada lagi yang sedang jumpa ustaz,” jelas wanita itu selepas hasrat mahu bertemu pengasas Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) diberitahu.

Hampir 30 minit menunggu. Tapi ia sedikit tidak membosankan.

Masa terasa singkat bila mata dijamu dengan pemandangan sekeliling yang amat damai dan menyegarkan.

Melihat tasik yang menghias madrasah, pohon-pohon hijau yang menyejukkan, disulam gema kalimah ALLAH yang tak putus-putus, membuatkan jiwa terus bertasbih mengucap syukur.

Ketika fikiran cuba mencari gambaran jernihnya air di telaga kauthar, khayalan disapa salam Pengasas MTFAW, Marzi Firdaus Mohd Ariffin.

Ada raut sayu. Namun senyuman tidak pula dilempar jauh.

Semasa berbicara, dia sempat meluah. Belum sempat menjamah walau sebutir nasi, katanya. Sibuk melayan tetamu yang tidak putus-putus datang gara-gara viral yang tersebar.

Ada rona kepenatan yang terpampang di wajah bapa tiga cahaya mata ini.

Marzi Firdaus, 38,  ditemani isterinya, Sarimah Sam, ketika melayan soalan bertubi-tubi yang kami ajukan kepadanya.

“Apa yang diviralkan mengatakan ini perlukan bantuan kewangan bagi menyelesaikan pembayaran tapak pusat ini adalah benar.

"Kami perlukannya sebelum Disember ini,” kata Marzi Firdaus.

Namun begitu katanya, sebelum ini madrasah itu tidak mendapat sebarang jumlah atau bentuk bantuan daripada sesiapa.

Beliau berkata, MTFAW yang beroperasi di tanah seluas 8.9 hektar itu dibeli dengan nilai RM1.4 juta dan pembayarannya dilakukan secara ansuran.

Jelasnya, sehingga kini, baki bayaran untuk tanah itu masih banyak walaupun tempoh akhir janji pembayaran tersebut sepatutnya berakhir pada Oktober ini.

“Pembayaran tanah ini dibuat melalui sumbangan dan derma orang ramai. Berapa pun nilai yang diperoleh, kita akan salurkan kembali kepada pemilik tanah sebagai pembayaran.

“Tempoh akhir pembayaran adalah pada Oktober ini dan kita ada meminta pada pemilik tanah ini untuk memanjangkan tempoh pinjaman supaya dapat menyelesaikan bayaran tertunggak,” katanya.

Menurutnya, pusat tahfiz yang beroperasi secara percuma itu diasaskan bersama isterinya, Sarimah Sam, 38, dengan menempatkan seramai 45 pelajar dan dua guru.

Katanya, pelajar yang berusia lingkungan tujuh hingga 17 tahun itu terdiri daripada anak yatim piatu, mualaf, fakir miskin dan Orang Asli.

“Sejak ia menjadi viral, saya dihujani dengan panggilan, sistem pesan ringkas (SMS), Whatapps, dari pagi hingga petang tadi (semalam).

"Kami turut dikunjungi Jabatan Kemajuan Islam  Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Majlis  Agama Islam dan Adat Istiadat Perak (Maipk), PDRM untuk mendapatkan kepastian.

“Selain itu juga, ada  individu dari Kuala Lumpur, Alor Setar dan beberapa tempat turut datang ke sini (MTFAW) untuk mendapatkan kepastian  mengenai apa yang tersebar dalam media sosial selain menyalurkan sedikit bantuan,” katanya.

Marzi Firdaus berkata, MTFAW mula ditubuhkan sejak lima tahun lalu dan pada awal tahun ini, pihaknya berpindah ke Jalan Cameron Highland- Tapah  dari Teluk Intan, pernah beroperasi di Pekan Nenas, Pontian, Johor dan Pasir Salak.

“Kami sudah beberapa kali pindah dan kali ini memohon bantuan orang ramai untuk membantu melunaskan bayaran tanah ini,” katanya.

Perlukan bantuan selain kewangan

Mazri Firdaus berkata, selain bantuan kewangan untuk melunaskan pembayaran tapak tanah, pihaknya juga memerlukan bahan bacaan ilmiah untuk pelajar tahfiz  di situ.

Katanya,  dengan bahan bacaan ilmiah di  MTFAW itu dapat memberi lebih banyak pengetahuan khususnya kepada pelajar.

“Saya menjemput mana-mana sukarelawan yang dapat datang untuk mengajar anak-anak di sini khususnya mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik pada setiap hujung minggu.

“Bagi  MTFAW, kami tidak mampu kerana tenaga pengajar hanya dua orang sahaja untuk menghafaz Al Quran untuk 45 pelajar dari umur tujuh hingga 17 tahun. Sekiranya ada, kami berbesar hati menerimanya,” katanya.

Menurutnya, selain itu,  bantuan berbentuk makanan mahupun pelbagai jenis bantuan pihaknya juga menerima dengan hati penuh kesyukuran.

Akan daftar di bawah Jaipk dalam masa terdekat.

Mazri Firdaus berkata, MTFAW baru berpindah ke madrasah di Jalan Cameron Highland – Tapah sejak awal tahun lalu dan proses untuk pendaftaran di bawah  Jaipk akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, wakil Jaipk telah datang pagi semalam dengan menghantar borang pendaftaran Madrasah Tahfiz pihaknya selain melakukan lawatan sekitar MTFAW ini.

“Berkenaan isu tiada permohonan untuk kutip derma daripada Maipk, kami tidak meminta derma dengan meletakkan tabung di mana-mana lokasi untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

“Sebaliknya, orang ramai yang datang ke MTFAW atau terdengar kisah kami, mereka n berikan sedikit sumbangan dan itulah kami digunakan untuk menyelesaikan pembayaran tapak pusat ini,” katanya.

Tiada keluarkan sebarang kenyataan: Som Sak

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Beliaw menegaskan Ketua Polis Balai Tapah, Asisten Superitendan Shahariaman Ngah tidak  mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan MTFAW  seperti mana tersebar meluas di dalam aplikasi Whatapps sejak kelmarin.

Menurutnya, pihaknya percaya ada individu sengaja  menggunakan nama pegawainya itu  dan ia menjadi viral.

“Berkenaan madrasah itu, Ketua Balai Polis Tapah tidak pernah memberi sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak seperti mana menjadi viral sejak semalam (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, Jaipk menasihatkan pihak madrasah terlibat untuk mendaftar segera dengan jabatan tersebut supaya mereka boleh mengumpul dana diperlukan secara sah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pegawainya telah menemui pihak madrasah dan mendapati mereka tidak pernah berdaftar dengan Jaipk ataupun Maipk.

Menurutnya, adalah menjadi satu kesalahan jika tiada kebenaran secara sah untuk mengutip derma dan boleh dikenakan tindakan jika didapati berbuat demikian.

“Pegawai kita telah ke madrasah berkenaan untuk meninjau sekitar kawasan tersebut serta menyerahkan borang permohonan supaya premis mereka dapat didaftarkan.

“Pihak madrasah perlu mendaftar untuk mendapatkan kelulusan bagi mengelakkan orang ramai daripada tertipu dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan untuk mengutip derma secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, Mohd Yusop menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan mengenal pasti sama ada pihak yang berkenaan mempunyai kebenaran sah atau tidak sebelum menghulurkan derma.

Beliau berharap mana-mana institusi agama yang belum berdaftar untuk tampil supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Sinar Harian 25 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment