November 20, 2015

Budak nakal berjaya

Hassan (dua dari kiri), Hussin (tiga dari kanan) dan Emam (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di Sekolah Henry Gurney Telok Mas.

Melaka: Jika sebelum ini mereka dianggap sebagai budak nakal, kini dua bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, di sini, menjadi contoh kepada penghuni sekolah itu apabila berjaya dalam pelajaran dan melanjutkan pengajian ke universiti.

Hussin Harun, 24, berkata, pengalaman sepanjang dua tahun di Sekolah Henry Gurney membantunya memperbaiki akhlak dan menjalani cara hidup sihat sehingga berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Perniagaan Antarabangsa.

Katanya, dia tidak menganggap tindakan dihantar ke sekolah berkenaan selepas didapati bersalah melakukan jenayah sebagai satu hukuman, sebaliknya memberi peluang kedua baginya untuk menjadi manusia berguna.

“Suasana tinggal di Henry Gurney selama dua tahun memang berbeza dengan hidup bersama keluarga di rumah, namun saya menggunakan peluang yang ada untuk memajukan diri dan maraih sesuatu yang berfaedah dalam hidup.

“Kesilapan lampau hingga saya dihantar ke Henry Gurney menjadi pedoman dalam hidup dan mendorong saya untuk terus berjaya selepas ini,” katanya yang ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, di sini, semalam.

myMetro 19 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment