November 13, 2015

Bilal maut motosikal bergesel

BATU PAHAT - Seorang bilal maut ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di daerah ini setelah mangsa terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Parit Ibrahim, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi kelmarin, motosikal mangsa, Shahdan Saki, 70, dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 70an dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semasa kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat dan menuju ke kampung berkenaan.

“Mangsa cuba mengelak motosikal yang datang dari arah hadapan, namun tidak sempat dan bergesel di bahagian tepi sebelum terbabas serta diheret beberapa meter.

“Akibat kemalangan, mangsa parah di bahagian kepala dan badan. Seorang lagi penunggang cedera dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Menurut Din lagi, mangsa dibawa ke klinik berhampiran oleh saksi kejadian, namun disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan daripada siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian,” katanya.

Sinar Harian 12 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment